GEORGE TOWN – Empat produk inovasi pendidikan di Pulau Pinang melalui penubuhan Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL), Tech Dome Penang (TDP), MakerLab dan Kafe Sains Pulau Pinang dapat memupuk minat pelajar ke arah Revolusi Industri 4.0.
Perkara itu dinyatakan oleh Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Penyelidikan & Inovasi Pendidikan Kebangsaan dan Pesta Buku Institut Pendidikan Guru (IPG) di IPG Kampus Pulau Pinang dekat Bukit Coombe pagi tadi.
“Kerajaan Negeri mementingkan pendidikan walaupun bidang pendidikan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
“Sebagai contoh, PDL yang beroperasi 24 jam manakala waktu operasi bagi PDL Fasa 2 adalah dari 8 pagi sampai 10 malam mendapat sambutan yang baik daripada kalangan pelajar selari dengan perkembangan teknologi terkini.
“Kerajaan Negeri juga memberi peruntukan kepada sekolah-sekolah kebangsaan dan sekolah jenis kebangsaan di seluruh Pulau Pinang.
“Pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga penting untuk menjadi penyelidik dan pakar inovasi yang sentiasa peka kepada perubahan dunia dan keperluan negara,” katanya.
Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Jabatan dan Penyelidikan Inovasi IPGM Dr. Rusminah Musliman dan Timbalan Pengarah IPG Kampus Pulau Pinang, Abdul Latib Abdul Rahman.
Mengulas lanjut, Hon Wai memaklumkan bahawa penubuhan MakerLab, Pusat Sains Tech Dome (TDP) dan Kafe Sains Pulau Pinang merupakan salah satu usaha untuk memupuk serta mendidik lebih banyak pembelajaran dan pengajaran dalam kalangan pelajar bagi pendidikan sains dan matematik.
“Justeru, TDP sebenarnya memberi pendedahan kepada pelajar untuk mendekati sains dan teknologi.
“Di kesempatan ini juga, saya mempelawa para guru di Malaysia untuk berkunjung ke PDL dan meneroka sendiri hasil usaha Kerajaan Negeri mentranformasikan sebuah bangunan lama kepada bangunan yang bermanfaat kepada masyarakat,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Abdul Latib ketika berucap berkata, penganjuran program besar buat julung kali diadakan iaitu gabungan program Persidangan Penyelidikan & Inovasi Pendidikan Kebangsaan serta Pesta Buku mendapat sambutan seramai 2,000 pengunjung selama tiga hari berturut-turut.
“Tema persidangan dan pesta buku ini iaitu ‘Pembacaan & Penyelidikan Pemangkin Inovasi Pendidikan’ adalah sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 yang penuh dengan ledakan inovasi digital serta mempengaruhi kehidupan seharian.
“Selain itu, Kajian Interim Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 2014 menyatakan bahawa purata rakyat malaysia membaca adalah 15 buah buku setahun telah meningkat berbanding tahun 2005 iaitu hanya dua buah buku sahaja dibaca.
“Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha mendidik dan memupuk semangat membaca kerana dengan adanya pembacaan yang tinggi, maka wujudlah kreativiti dan inovasi,” ujarnya.
Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI