GEORGE TOWN – Dalam mendepani krisis perubahan iklim dan risiko bencana, kesiapsiagaan masyarakat amatlah penting serta memerlukan pendekatan menyeluruh bukan sahaja daripada pihak kerajaan malah turut melibatkan seluruh anggota masyarakat.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, dalam konteks pendekatan menyeluruh masyarakat, Kerajaan Negeri telah menggariskan empat strategi bagi menangani kesan buruk akibat perubahan iklim.
Pertama adalah ‘Planning’ (perancangan) yang mana Perancangan Ketahanan Iklim melibatkan pelaksanaan polisi sedia ada serta memperkenalkan polisi-polisi baharu yang bersesuaian dengan kehendak semasa.
“Keduanya adalah ‘Readiness’ atau ‘Preparedness’ (ketersediaan) yang merupakan set tindakan berasaskan kajian sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi potensi bencana termasuklah ketersediaan organisasi dan aset.
“Seterusnya adalah ‘Respond’ (tindak balas) yang mana Pelan Tindak Balas Kecemasan dan mobilisasi semua jabatan, agensi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta dan orang awam diperlukan.
“(Dan) yang terakhir adalah ‘Recovery’ (pemulihan) melalui Pelan Pemulihan Pasca Bencana yang melibatkan penyaluran bantuan kepada kumpulan terjejas,” ujarnya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Bersama-sama YAB Ketua Menteri yang diadakan di The TOP Penang pada 11 Januari 2022.
Hadir sama, Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman; Timbalan Ketua Menteri II, Profesor Dr. P. Ramasamy dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus.
Turut hadir, barisan Exco Kerajaan Negeri; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri; Ahli-Ahli Dewan Rakyat; ketua-ketua jabatan serta agensi negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri melalui Agenda Hijau yang merangkumi pendekatan Daya Tahan Terhadap Kecemasan Iklim telah menubuhkan Unit Bencana untuk mengenal pasti langkah-langkah dalam meningkatkan ketahanan terhadap bencana.
“Berbekalkan pengalaman Pulau Pinang yang pernah berdepan dengan banjir besar pada November 2017, Kerajaan Negeri menubuhkan Unit Bencana melalui perancangan bersepadu yang mana Penang Green Council (PGC) menjalankan penyelidikan serta pengumpulan data.
“(Selain itu), Pasukan Respons Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) ditubuhkan bagi memastikan pengurusan bencana yang lebih berkesan dan menggalakkan komuniti setempat tampil membantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) memberi bantuan awal sama ada semasa bencana mahupun kecemasan.
“(Dan) Kerajaan Negeri berharap dengan perancangan dan penelitian rapi ini, Pulau Pinang lebih bersedia serta lebih berdaya tahan ketika berdepan situasi sukar,” katanya.
Terdahulu, Kon Yeow mengalu-alukan kehadiran semua anggota dan barisan pegawai tertinggi baharu dalam keluarga besar penjawat awam Pulau Pinang.
Semoga kita semua dapat memantapkan kolaborasi dan memperkasakan jalinan kerjasama dalam meneruskan legasi kecemerlangan Pulau Pinang.
“Tanpa ada yang terkecuali, penyertaan dan penglibatan menyeluruh semua anggota perkhidmatan awam sangat penting dan menjadi indikator atau petunjuk utama dalam merealisasikan dan mempercepatkan Visi Penang2030 – Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” jelasnya.
Menurutnya lagi, untuk tahun 2022 ini, Kerajaan Negeri akan meneruskan momentum dan kesinambungan beberapa projek infrastruktur berskala besar yang semestinya memberi manfaat kepada rakyat Pulau Pinang.
Maka, di sinilah tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh semua penjawat awam dalam melunaskan dasar-dasar yang memberikan manfaat kepada rakyat kerana rakyat tidak mahu tahu berkaitan dasar yang dibawa sebaliknya rakyat mahu tahu apa yang boleh mereka peroleh daripada dasar-dasar yang dilaksanakan itu.
“Oleh itu, saya memohon supaya semua agensi, jabatan dan anak syarikat Kerajaan Negeri menitikberatkan proses libat urus dengan semua pemegang taruh dalam pelaksanaan projek dan projek selain memberi fokus terhadap usaha-usaha pendigitalan proses serta urusan kerajaan.
“Marilah kita bersama-sama memperbaharui iltizam dalam menjadi tunjang bagi membina sebuah perkhidmatan awam negeri yang lebih dinamik, cemerlang dan gemilang,” serunya.
Kon Yeow kemudiannya menyampaikan Anugerah Pengiktirafan Pencapaian Terbaik Jabatan kepada lapan jabatan dan agensi yang telah merangkul pelbagai pengiktirafan dan kejayaan pada peringkat nasional mahupun antarabangsa melalui inisiatif dan pelaksanaan program berimpak tinggi.
Antaranya Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri; Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Perbadanan Ketua Menteri (CMI) Pulau Pinang; Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang; George Town World Heritage Incorporated (GTWHI); Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi; Penang Green Council dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang.
Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Bersama-sama YAB Ketua Menteri menghimpun semua anggota perkhidmatan awam Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Badan Berkanun yang berkhidmat di Pulau Pinang. Perhimpunan yang diadakan secara tahunan ini menjadi wadah pertemuan antara pimpinan tertinggi negeri dengan semua anggota perkhidmatan awam.
Majlis yang diadakan dalam suasana normal baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ini ditangguhkan selama dua tahun sebelum ini ekoran pandemik COVID-19.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD Video : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR