Empat vesel pukat tunda disita, beroperasi bawah had dibenarkan

BATU MAUNG – Unit Penguatkuasaan Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) menyita empat buah vesel pukat tunda tempatan akibat dipercayai melakukan tangkapan ikan bawah perairan yang dibenarkan.

 

 

Menurut Pengarah JPNPP, Yazeereen A. Bakar keempat-empat vesel tersebut ditahan pada 4 dan 5 Januari lalu hasil rondaan Unit Penguatkuasaan JPNPP.

 

 

“Pada 4 Januari 2023, dua buah vesel tunda Zon C telah ditahan atas kesalahan beroperasi kurang dari 15 batu nautika dari pantai atau daratan terdekat.

 

 

“Vesel-vesel yang berpengkalan di Kuala Kedah itu ditahan pada kedudukan 9.1 dan 9.8 batu nautika di barat Mukahead perairan Pulau Pinang yang mana kurang 12 batu nautika dari daratan paling hampir.

 

 

 

“Manakala pada 5 Januari, sebuah vessel tunda Zon C yang berpangkalan di Bagan Panchor, Perak turut disita pada kedudukan 10.8 batu nautika dari Gertak Sanggul selain menggunakan kru asing tanpa permit,” ujar Yazeereen dalam satu sidang media berikutan penahanan empat vessel bersama hasil tangkapan ikan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Batu Maung di sini pagi tadi.

 

 

Hadir sama, Pembantu Laut, Mohammad Rizal Abu Aziz dan anggota-anggota Unit Penguatkuasaan JPNPP.

 

 

 

Tambah Yazeereen, pada lewat petang 5 Januari, sebuah lagi vesel tunda Zon C dari Kuala Kurau turut ditahan kerana beroperasi pada kedudukan 7.2 Batu Nautika dari Tanjung Piandang serta menggunakan empat warga asing tanpa permit.

 

 

“Kesemua vesel ditahan tersebut disita dibawah Seksyen 8(B) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar apa-apa syarat lessen yang dikeluarkan berkenaan vesel itu dan dibawa ke Jeti LKIM Batu Maung untuk tindakan selanjutnya.

 

 

 

Anggaran nilai rampasan bagi vessel terbabit adalah sebanyak RM2.8 juta termasuk hasil tangkapan sebanyak 2.9 tan metrik.

 

 

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI