Empayar Mamazola kembangkan perniagaan, tawar perkhidmatan retort makanan

bel 6575 Azmira Ali menunjukkan produk makanan yang telah diretort.

PENGUSAHA sambal tempatan, Empayar Mamazola kini melangkah setapak lagi ke hadapan dalam perniagaan makanan dengan memperkenalkan perkhidmatan retort.

Pemilik perniagaan, AZMIRA ALI, 46, berkata perkhidmatan tersebut ditawarkan dengan caj minimum RM20 bagi setiap dua kilogram (kg).

“Pada mulanya kami hanya memfokuskan pengeluaran sambal penyet, namun selepas mendapat permintaan meluas daripada pelanggan, kami memutuskan untuk menyediakan perkhidmatan ini.

Retort adalah teknologi baru yang dapat memanjangkan hayat makanan tanpa penggunaan bahan pengawet dan mampu tahan sehingga dua tahun.

“Kebanyakan pelanggan saya adalah terdiri daripada mereka yang mahu ke luar negara di samping peniaga-peniaga kecil yang tidak memiliki kemudahan retort untuk membungkus produk jualan mereka,” katanya kepada penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar NOOR SITI NABILAH NOORAZIS ketika ditemui di premis perniagaannya dekat Tasek Gelugor.

Mesin retort berfungsi untuk proses perawatan haba bagi mematikan kuman sterilize secara kombinasi tindakan suhu dan tekanan tinggi bagi membunuh serta memusnahkan kuman dan sporanya agar ketahanan produk menjadi panjang.

Produk yang sudah menjalani proses retort boleh disimpan dan dijual pada suhu biasa dengan tempoh penyimpanan sehingga dua sehingga lima tahun.

Menurut Azmira, mesin retort berharga lenih RM2,000 tersebut dibeli sendiri menggunakan geran daripada Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang.

“Sebenarnya hasrat untuk menjalankan perkhidmatan retort makanan sudah lama tapi tertangguh kerana sebelum ini saya hanya menjalankan perniagaan di rumah, risau takut mengganggu jiran tetangga.

“Jadi dengan adanya kemudahan seperti bengkel dan mesin retort, saya teruskan hasrat tersebut dan alhamdulillah, nampaknya permintaan terhadap perkhidmatan retort sangat menggalakkan.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari ada sahaja pelanggan datang menghantar makanan mereka untuk dibungkus menggunakan teknologi retort ini,” katanya yang pernah menjalani kursus retort dengan bantuan beberapa agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

bel 6531
Azmira menunjukkan cara pengendalian mesin retort.
bel 6522
Makanan yang dihantar oleh pelanggannya untuk diretort.
bel 6580
Produk yang telah siap diretort.

bel 6540

Azmira berkata, memandangkan permintaan yang semakin meningkat saban hari, beliau berhasrat untuk menambah satu lagi mesin retort bersaiz lebih besar.

“Saya sedang memohon kepada Jabatan Pertanian (Pulau Pinang) untuk mendapatkan mesin retort yang mampu menghasilkan sehingga 300 pek makanan sehari berbanding hanya 10 pek  sahaja ketika ini.

“Pada masa sama, saya dapat membantu lebih ramai usahawan kecil yang memerlukan perkhidmatan retort untuk memasarkan produk mereka,” katanya.

Menyentuh mengenai sambal penyet ikan Talang yang diusahakannya, Azmira berkata Empayar Mamazola kini sedang memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Semua proses dokumentasi sudah selesai dan sekarang kami sedang menunggu kelulusan daripada pihak Jakim.

“Baru-baru ini kami menyertai Halal International Selangor dan terdapat beberapa syarikat berhasrat untuk memasarkan produk sambal penyet ikan Talang tetapi tidak boleh berbuat demikian kerana masih tiada sijil halal.

“Sekarang sambal penyet masih dijual di platform media sosial seperti Facebook dan Tik Tok serta beberapa premis perniagaan terpilih.

“Jika dapat sijil halal nanti, kami mempunyai Impian untuk memasarkan produk sambal penyet ini ke pasar raya besar seperti Mydin, Econsave, Aeon Big dan sebagainya,” jelasnya lanjut.

Bercakap mengenai kejayaan beliau hari ini, Azmira berkata peranan agensi negeri Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) tidak akan sesekali dilupakan.

“Sebelum ini, saya langsung tidak mempunyai pengetahuan mengenai dunia perniaan terutamanya perihal pemasaran, membina rangkaian perniagaan, pembungkusan dan sebagainya.

“Selepas menyertai program Mentor Usahawan Wanita Pulau Pinang (PWEMP), saya mendapat banyak tunjuk ajar dan panduan mengenai kepentingan memasarkan produk secara berkesan.

“Justeru, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada PWDC kerana banyak memberi tunjuk ajar kepada saya sekali gus menyumbang kepada peningkatan perniagaan saya pada hari ini.

“Terima kasih juga kepada suami dan keluarga yang banyak memberikan sokongan serta bantuan untuk memastikan produk sambal penyet ikan Talang Mamazola semakin dikenali,” katanya mengakhiri bicara.

Bagi mereka yang mahu mendapatkan perkhidmatan retort makanan boleh bengkel Empayar Mamazola dekat Jalan Merbau Kudung, Tasek Gelugor.