Enam atlet negeri terima insentif pendidikan PACE

GEORGE TOWN – Seramai enam atlet negeri yang berjaya melanjutkan pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) dipilih sebagai perintis untuk menerima insentif pendidikan daripada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) di bawah program Penang Athlete Career Education (PACE), hari ini.

 

Mereka ialah M. Khambeswaran (atlet memanah); Mohd. Daniel Rusydi Zainuddin (tenpin bowling); Mohamad Hafiz Halim (pencak silat); Muhammad Hazwan Abd. Wahab (angkat berat); Khairul Nizam Saad (pencak silat) dan Shahaiqal Abdullah (pencak silat).

 

ATLET angkat berat, Muhammad Hazwan Abd. Wahab (dua dari kiri) antara penerima insentif MSNPP.

 

Terdahulu dalam sesi sidang media yang berlangsung di Komtar, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyambut baik segala bentuk usaha dalam merealisasikan program tersebut.

 

Insentif yang dilancarkan oleh MSNPP pada 1 Ogos 2020 ini merupakan inisiatif khas dalam membantu para atlet negeri untuk berjaya dalam bidang pendidikan, kerjaya serta hal ehwal kebajikan (atlet) selain bersukan.

 

“Di bawah program PACE terdapat tiga teras utama iaitu menyediakan platform pendidikan untuk memberi peluang kepada para atlet melanjutkan pelajaran ke menara gading; membina laluan kerjaya kepada atlet dan bekas atlet untuk diserap ke sektor awam ataupun swasta dan memastikan kebajikan para atlet terpelihara setiap masa,” ujarnya.

 

Menurut Kon Yeow, insentif berkaitan merupakan permulaan yang baik kepada para atlet di negeri ini.

 

“Semoga ia menjadi pemangkin kepada lebih ramai atlet negeri yang berdaya saing dan berprestasi tinggi untuk berjaya dalam pendidikan tanpa mengetepikan masa depan dan bidang sukan yang diceburi,” katanya.

 

ANTARA wakil syarikat korporat yang memberi sumbangan ke Tabung Sukan Negeri Untuk Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang di bawah program PACE tidak melepaskan peluang merakam kenangan bersama-sama Ketua Menteri dan pimpinan negeri sejurus sidang media di sini.

 

Dalam sidang media sama, Kon Yeow menzahirkan penghargaan kepada pelbagai agensi korporat yang juga menyokong pelaksanaan program PACE berkaitan.

 

“Antaranya adalah Syarikat UWC Berhad (yang menyumbang RM50,000 kepada MSNPP); Syarikat Hunza Properties Berhad (RM50,000); Syarikat Dee Noon Corporation Sdn. Bhd. (RM50,000); Syarikat Menara Kerjaya Fasteners Sdn. Bhd. (RM25,000); Syarikat Hotayi Electronic (M) Sdn. Bhd. (RM25,000) dan Syarikat Only World Group Holdings Berhad (RM30,000).

 

“Saya berharap usaha ini akan menjadi ikutan kepada syarikat-syarikat korporat lain dalam membantu kecemerlangan sukan negeri,” zahirnya.

 

Dalam pada itu, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee memberitahu bahawa pemilihan atlet sebagai penerima insentif PACE dibuat berdasarkan kelayakan serta syarat-syarat yang ditetapkan.

 

“Antaranya, atlet perlu aktif dalam program anjuran MSNPP; menyertai Sukan Malaysia (SUKMA); berusia 23 tahun dan ke bawah; bekas atlet dalam tempoh dua tahun selepas kejohanan serta perlu menyertai kejohanan sukan sama ada di peringkat SUKMA, kebangsaan atau setaraf dengannya.

 

Di bawah program PACE ini juga, enam jenis bantuan kewangan diberikan kepada atlet berkelayakan termasuk Bantuan Insentif Pendidikan IPT yang dibayar secara one-off; Bantuan Biasiswa Sukan (sepanjang pengajian); Bantuan Khairat Kematian Atlet (one-off); Bantuan Rawatan Penyakit (one-off); Bantuan Kos Pembedahan (one-off) dan Bantuan Bencana Alam (one-off).

 

“Bagi Bantuan Insentif Pendidikan IPT, bantuan diberikan kepada atlet yang mengikuti program pendidikan seperti Sijil Kemahiran; Pra Diploma; Diploma serta Ijazah Sarjana Muda sepenuh masa,” jelasnya.

 

SOON Lip Chee.

 

Tambah Lip Chee, bagi atlet Pulau Pinang yang masih aktif dan berada dalam skuad kebangsaan atau yang telah bersara mewakili Malaysia, bantuan kewangan akan terus disalurkan oleh Sekretariat Kerjaya dan Pendidikan Atlet Malaysia (MACE) atau Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

 

“Justeru, sumbangan kewangan atau tajaan daripada syarikat dan badan korporat adalah amat dialu-alukan bagi membantu para atlet di negeri ini,” katanya sejurus penyampaian penghargaan kepada syarikat-syarikat korporat berkaitan di sini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Farazi Johari; Pengarah MSNPP, Harry Chai Heng Hua serta Ahli-Ahli Jawatankuasa Pengurusan MSNPP dan penaja.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD