GEORGE TOWN – Hanya rasa gembira mampu digambarkan S.H.Poh apabila permohonan Mykad untuk anak saudaranya, L.Y.Lee akhirnya berjaya setelah hampir enam bulan menanti.
“Terima kasih kepada pihak YB Dato’ Abdul Halim Hussain (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Batu Maung) dan pertolongan daripada pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sepuluh Kongsi yang membantu untuk menguruskan permohonan kad pengenalan ini,” ujarnya ringkas selepas mewakilkan anak sedaranya bagi menerima Mykad baharu daripada Abdul Halim pada majlis ringkas sebentar tadi.
Hadir sama, Pengerusi Sepuluh Kongsi, Lim Ah Kauw.
Menurut Abdul Halim, pihak MPKK Sepuluh Kongsi dan Pejabat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN Batu Maung) sedaya-upaya cuba merealisasikan hasrat Poh bagi membantu anak saudaranya itu mendapat Mykad pertama.
“Lee sebenarnya dipelihara oleh ibu saudaranya sejak berusia lapan bulan, dan permohonan bagi mendapatkan kad pengenalan kali pertama menghadapi kesulitan apabila ayah beliau telah meninggal dunia pada April lalu, manakala ibunya gagal dijejaki sehingga kini.
“Namun, syukur hasil kerjasama di antara pejabat KADUN Batu Maung dan MPKK Sepuluh Kongsi, penantian ini akhirnya membuahkan hasil dan mempermudahkan urusan persekolahan Lee selepas ini,” ujarnya.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD