BERTAM – Berbaki dua hari kempen sebelum hari pembuangan undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang pada 12 Ogos ini, jentera Perpaduan yang diketuai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri, Tuan Chow Kon Yeow dilihat terus menggempur sekalian keahlian akar umbi parti serta penyokong tradisi sekitar kawasan Parlimen Kepala Batas dan Tasek Gelugor petang tadi.
Kon Yeow yang bertanding di N26 Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Kota berkata bahawa pihaknya mahu seramai mungkin calon Perpaduan termasuk enam calon Barisan Nasional (BN) menang PRN ini bagi membolehkan sebuah Kerajaan Negeri yang stabil dengan majoriti dua pertiga ditubuhkan kelak.
“(Gabungan PH – BN atas nama Perpaduan) ini adalah sesuatu yang baharu, oleh itu kita menghasilkan suatu slogan ‘Di mana ada Harapan (bertanding), undi (calon) Harapan. Di mana tiada (calon) Harapan, undi Barisan’ sebagai suatu mesej yang ringkas dan senang difahami.
“Selepas perjalanan kempen (Perpaduan), boleh disaksikan rata-rata (keahlian serta penyokong PH) memang mendapat sambutan termasuk di kawasan (DUN) yang ditandingi calon BN juga,” jelasnya dalam sidang media berkaitan selepas program jerayawara dekat Bertam di sini pada 10 Ogos 2023.
Kata Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) negeri itu lagi, beliau gembira melihat sekalian keahlian akar umbi parti cepat menyesuaikan diri dengan penjajaran politik baharu negara serta bersedia memberi undi sokongan kepada Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican yang bertanding di N02 Bertam atas tiket BN.
Bercakap kepada pemberita, Reezal Merican menyatakan bahawa PH dan BN akan terus menggandakan usaha menjana sokongan pengundi dalam tempoh baki dua hari berkempen ini bagi memastikan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang diterajui Kon Yeow dapat ditubuhkan dengan majoriti dua pertiga kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“Kelompok pengundi Melayu, (gabungan PH – BN) ini memang suatu pengalaman baharu, tetapi jentera Perpaduan turut ke peringkat akar umbi untuk memberikan pemahaman bahawa kita (Perpaduan) ingin kestabilan (politik semasa penubuhan Kerajaan Negeri pasca PRN nanti).
“Sebab itu saya kata kehadiran saya bertanding (N02 DUN Bertam) ini bukan sebab nak mendapatkan gelaran Yang Berhormat, tetapi saya mahu memberikan pengukuhan kepada ‘Kerajaan Perpaduan’ (peringkat Pulau Pinang) yang bakal dipimpin oleh Tuan Chow Kon Yeow nanti,” ujarnya yang juga Ketua Umno Bahagian Kepala Batas.
Di samping itu, beliau memberitahu bahawa penyertaan BN dalam proses pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca PRN nanti adalah penting bagi memastikan kelangsungan program pembangunan masa depan negeri yang selari dengan Kerajaan Madani Malaysia peringkat Persekutuan.
“Saya nak wajah Kerajaan Perpaduan (pasca PRN Pulau Pinang) ini mewakili semua kaum, untuk tujuan itu, Tuan Chow Kon Yeow memerlukan ‘rakan kongsi’ yang kuat daripada parti beraspirasikan Melayu (iaitu Umno) untuk bersama-sama tubuh Kerajaan Negeri (sekali gus) menyanggah dakwah-dakwah pihak pembangkang konon-konon Kerajaan Negeri ini ditadbir oleh sebuah parti yang mewakili satu kaum sahaja,” tegasnya.
Sebelum itu, jerayawara Kon Yeow turut mengempur pengundi lokal yang rata-rata Cina untuk membantu dua calon Melayu lain iaitu Datuk Dr. Ir. Shaik Hussein Mydin (Calon BN di N05 DUN Sungai Dua) dan Mohsein Shariff (Calon PH di N06 DUN Teluk Air Tawar).