PESTA Pulau Pinang telah menjadi acara tradisi di negeri ini menjelang hujung tahun, namun difahamkan edisi 2024/2025 kali ke-58 ini mungkin merupakan ‘episod akhir’ ia berlangsung di Tapak Pesta Sungai Nibong.
Dikatakan bahawa lokasi berkenaan akan dibangunkan sebagai stesen transit aliran ringan (LRT) tidak lama lagi yang bakal menjadi mod pengangkutan alternatif untuk warga negeri ini.
Susulan itu, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI bersama-sama wartawan pelatih, NUR BATRISYA IDRIS dan jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR cuba mencuit khalayak bagi mendapatkan respons umum tentang ‘episod akhir’ Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong.
Petugas di Tapak Pesta Pulau Pinang, MUHAMMAD AFIQ ARSHAD ABDUL RAZAK, 30, tidak dapat menyembunyikan kesedihan apabila mendapat tahu tentang perkara tersebut.
“Pesta Pulau Pinang Sungai Nibong ini sudah sinonim dengan rakyat Pulau Pinang bahkan orang luar pun memang kenal dengan festival hujung tahun di sini.
“Kalau berkunjung ke Pulau Pinang tidak lengkap rasanya kalau mereka tidak singgah ke pesta, namun apakan daya kita juga perlu lihat masa depan dan pembinaan LRT juga untuk kebaikan rakyat secara keseluruhan,” ujarnya yang merupakan salah seorang kakitangan di Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP).
Rakannya, MUSTAQIN ALPI, 30-an, juga senada dengannya sambil menyifatkan Pesta Pulau Pinang merupakan penganjuran ikonik negeri.
“Perasan bercampur baur, sedih juga, namun kita juga perlu memberi laluan kepada projek LRT yang tidak kurang pentingnya kepada Pulau Pinang khususnya rakyat.
“Saya harap ia boleh diteruskan lagi di lokasi lain agar tradisi Pesta Pulau Pinang ini dapat dikekalkan walaupun berubah tempat,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.
Bagi, DANISYA ZAMBERI ketika memberi pandangan menyifatkan pembangunan projek LRT dilihat lebih memberi manfaat pada kawasan sekitar yang juga merupakan terminal bas utama di kawasan pulau.
“Di sebalik penganjuran pesta, mungkin kita kena lihat juga pembangunan LRT yang akan lebih memberi manfaat positif kepada Pulau Pinang secara keseluruhan terutamanya melibatkan kesesakan jalan raya yang semakin meruncing,” kata pelajar berusia 21 tahun itu.
Seorang kakitangan swasta, SYAZA ZABIDI, 23, agak ‘berat’ menerima keputusan kemungkinan Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong akan ditamatkan.
“Pesta ini kalau kita lihat ia menjana ekonomi kepada penjaja kecil dan memberikan pendapatan kepada mereka, tambahan pula ia menggamit banyak memori dan kenangan di situ,” respons Syaza.
Peniaga, NIZAR SAFWAN JERRY, 25, menyifatkan Pesta Pulau Pinang adalah satu nostalgia dalam hidupnya.
“Sekiranya berpindah ia tidak akan sama dengan pesta sekarang, dahulu masa kecil kadang-kadang cuma jalan kaki dari rumah di Bukit Jambul ke Pesta Pulau Pinang.
“Tetapi apakan daya, pembangunan LRT perlu dilaksanakan, kalau buat di lokasi baharu harap pengurusan boleh tambah permainan baharu dan laksanakan kawalan harga permainan serta makanan di situ,” katanya lagi.