PADANG KOTA – Penganjuran Program Gunting Rambut Percuma anjuran khas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Transfer/Jalan Argyll di Flat Jalan Kedah pada pagi ini secara tidak langsung dapat mengeratkan ikatan silaturahim di antara penduduk dengan pelbagai pihak berkaitan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa menerusi program melibatkan kolaborasi pelbagai pihak sebagaimana pagi ini, ia terbukti Kerajaan Negeri berjaya mempamerkan usaha dalam memperkasakan komuniti setempat sejajar gagasan Visi Penang2030.
“Penduduk setempat secara tidak langsung dapat mengembleng tenaga bersama bukan sahaja agensi, malahan juga badan bukan kerajaan (NGO) dalam melestarikan inisiatif ❤️PENANG sebagai satu landasan demi kepentingan komuniti secara keseluruhan,”ujarnya semasa merasmikan program berkaitan di sini.

Hadir sama, Pengerusi MPKK Jalan Transfer/Argyll, Mak Tong Lee; Pengarah-pengarah H.I Signature Salon Academy, Phang Wei Lik serta Tan Mei Cia dan Pengerusi Perbadanan Pengurusan Kompleks Flat Jalan Kedah, Mohammed Ramlan Mohamed Rowther.
Dalam sesi sama, Kon Yeow turut diberikan peluang menggunting rambut salah seorang penduduk serta menjalani sesi beramah mesra.
“Lebih 40 penduduk yang telah mendaftar setakat pagi ini, dan kelihatan semuanya teruja untuk merasai perkhidmatan profesional dari H.I Signature Salon Academy yang terlatih.
“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah atas penganjuran program yang amat bermakna ini, dan ingin menyeru lebih ramai penduduk untuk turun dan sertai program gunting rambut secara percuma ini,” serunya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ALISSALA THIAN