Evolusi analog ke digital tingkat daya produktiviti penguatkuasaan

Admin

PADANG KOTA – Dalam mendepani cabaran normal baharu ekoran impak pandemik COVID-19 dan peralihan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0), gerak kerja warga penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) juga perlu seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

 

 

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow percaya bahawa pengenalan rangkaian 5G baru-baru ini terutamanya di kawasan bandar raya dan juga penggunaan aplikasi pintar di negeri ini adalah perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

 

 

“Fasiliti dan kemudahan ini seharusnya telah memberikan nilai tambah cukup sempurna dalam menangani kepelbagaian kesulitan yang timbul sepanjang tempoh perkhidmatan, malah, saya juga yakin bahawa evolusi teknologi dari analog ke digital sedikit sebanyak telah meningkatkan daya produktiviti para anggota penguat kuasa.

 

 

“Sebagai contoh, dengan peningkatan kapasiti telekomunikasi melalui teknologi 5G, keupayaan dalam melaksanakan pemantauan penguatkuasaan melalui kamera litar tertutup (CCTV) juga telah dapat dipertingkatkan yang mana ia adalah lebih pantas berbanding dimensi tanpa wayar lain,” ujarnya pada Majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dekat Jalan Padang Kota Lama di sini pagi tadi.

 

 

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Ahli-ahli Majlis MBPP dan ketua-ketua jabatan PBT berkenaan.

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa pujian harus diberikan untuk segala komitmen, kerja keras dan pengorbanan, bukan sahaja kepada warga kerja Jabatan Penguatkuasaan, tetapi juga keseluruhan institusi MBPP dalam mendepani cabaran tugas yang cukup mencabar, terutama dalam mengadaptasi kepentingan inovasi dengan keperluan semasa.

 

 

“Meskipun begitu, saya percaya masih ada ruang yang masih boleh diperbaiki sebagai penambahbaikan dalam sistem penyampaian sedia ada kepada rakyat.

 

 

“Jadi, saya mengambil peluang ini menyeru kepada seluruh warga kerja Jabatan Penguatkuasaan (MBPP) untuk memanfaatkan ruang yang diberikan dengan sentiasa mempersiapkan diri untuk kemajuan bersama iaitu selari dengan fungsi jabatan yang merupakan tunjang MBPP,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

Kon Yeow dalam pada itu turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Penguatkuasaan MBPP dalam melicinkan aliran lalu lintas terutamanya pada sidang World Congress in Innovation And Technology (WCIT), Penang Techfest dan tempoh endemik yang menyaksikan peningkatan mendadak jumlah kenderaan di kawasan pulau negeri ini.

 

 

“Saya amat berpuas hati dengan kerjasama serta komitmen tinggi daripada semua warga kerja MBPP terutamanya Jabatan Penguatkuasaan dalam membantu menguruskan bandar raya ini demi kepentingan rakyat.

 

 

“Saya berharap dengan semangat kerja berpasukan ini, ia dapat  memupuk azam serta tekad  jati diri anggota berteraskan ‘My City, My Safety, My Responsibility’,” ulasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

 

Pada majlis tersebut, seramai 318 kakitangan Jabatan Penguatkuasaan MBPP turut memperagakan pakaian seragam baharu berwarna hijau tua berserta aset kelengkapan logistik seperti kenderaan tunda, Skuad Pantas, pacuan empat roda, motosikal Warden Trafik dan Unit Rondaan Berbasikal.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS