Exco ajak masyarakat ubah gaya hidup sihat, elak diabetes dan jalankan pemeriksaan kesihatan percuma

GEORGE TOWN – Dijangkakan 31 peratus daripada jumlah rakyat Malaysia boleh menghidap penyakit diabetes pada tahun 2025 sekiranya langkah pencegahan awal tidak diambil.

Menurut Exco, Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil, permakanan sihat serta gaya hidaup cergas mesti dimulakan hari ini sekiranya Malaysia, khususnya Pulau Pinang mahu mengelak dari dilanda senario berkenaan.

“Kadar 31 peratus rakyat Malaysia yang mungkin menghidap diabetis pada tahun 2025 bersamaan dengan satu daripada tiga rakyat negara ini boleh dijangkiti sekiranya langkah pencegahan tidak diambil menurut dari maklumat yang saya baca baru-baru ini.

“Ianya sangat membimbangkan kerana seperti mana kita ketahui diabetes boleh membawa gejala penyakit lain bersama seperti buah pinggang, jantung, angin ahmar dan lain-lain lagi sekiranya tidak dijaga dengan betul,” ujar beliau ketika berucap pada sidang media Health Screening & Diabetes Awareness Campaign 2019 di Komtar tengah hari tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid; Lions District Governor, Lim Kok Peng dan Pengerusi Penganjur, Chua Yu Beng.

Melalui Program Health Screening & Diabetes Awareness Campaign 2019, sebanyak lima lokasi dipilih bagi membolehkan orang ramai menjalani pemeriksaan kesihatan percuma serta pemeriksaan katarak (mata).

Program anjuran Lions Club bersama beberapa penaja lain itu akan mengambil tempat di Taman Kejiranan Karpal Singh pada 3 November depan dari jam 9 pagi hingga 1 petang.

Lokasi kedua juga pada 3 November bertempat di Occupy Beach Street dari jam 7 hingga 10 pagi.

Bagi lokasi ketiga, ianya akan berlangsung di Pasar Tanjung Bunga pada 16 November (9pagi hingga 1petang), keempat, 23 November Pasar Awam Padang Tembak (9pagi hingga 1petang) dan lokasi terakhir adalah pada 24 November di Lucas Ark Plaza bersebelahan Sunshine Lip Sin (8pagi hingga 12 tengah hari).

Zairil megajak orang ramai menggunakan peluang ini bagi memeriksa kesihatan dan katarak secara percuma.

“Sesetengah orang dia ada penyakit tetapi tidak tahu dan melalui program ini mungkin ada antaranya yang berada di ‘tengah-tengah’ masih boleh mengubah gaya hidup kepada lebih sihat sekaligus mengelak penyakit seperti diabetes ini,” katanya yang juga ADUN Tanjung Bunga.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI