Exco ajak orang ramai sertai larian amal bantu pesakit kanser kanak-kanak  

Admin

GEORGE TOWN – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee menyeru orang ramai untuk meneyertai acara larian amal (5 kilometer) bertemakan One Love One Hope Run For Childhood Cancer dalam membantu golongan sasar yang memerlukan.

Jelasnya, matlamat utama adalah membantu kanak-kanak yang sedang menghidap kanser yang kurang bernasib baik.

“Selain itu acara anjuran Leo Club of Penang Light Omega ini turut menjemput anak-anak yatim, kanak-kanak kurang upaya (OKU) untuk menyertai larian amal ini.

“Acara larian ini juga dilihat sebagai satu platform kepada semua golongan meningkatkan kadar kesihatan mereka dalam mencegah penyakit lain seperti kencing manis, kemurungan sambil meningkatkan kecergasan,” ujarnya dalam satu sidang media di Komtar hari ini.

Hadir sama, Pengarah Lion Club of Penang Light, Philip Ng Nei Teik dan ahli-ahli pertubuhan tersebut.

Bercakap pada sidang media sama Lip Chee berkata, pihaknya kini sedang merangka usaha mendapatkan dewan-dewan peringkat komuniti untuk dijadikan gimnasium.

“Perkara ini akan dibincangkan bersama-sama dengan ADUN, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

“Melalui penubuhan gimnasium peringkat komuniti ini ianya akan lebih menggalakkan rakyat untuk bersukan dan beri lebih pilihan,” yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Nei Teik ketika berucap berkata dana dikumpul akan diberikan kepada pihak Hospital Besar Pulau Pinang.

“Acara ini akan diadakan pada 1 Disember depan bertempat di Taman Bandaraya seawal jam 6.30 hingga 10.15 pagi disertakan dengan aktiviti menarik lain seperti Zumba dan cabutan bertuah.

 

Bagi yang berminat boleh layari https://howei.com/event_details/oneloveonehoperun atau hubungi Leo Ho Hao Yuan 016-4039158 atau Leo Lim Xin Rou, 012-4218587.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING