Exco ajak pelajar bersama-sama capai aspirasi melalui pendidikan

TANJUNG BUNGA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga, Zairil Khir Johari mengajak para pelajar agar bersama-sama Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat bagi mencapai aspirasi baharu melalui bidang pendidikan menjelang tahun 2030.

 

Menurut Zairil, aspirasi tersebut terkandung dalam Visi Penang2030 yang digagaskan Ketua Menteri dan juga gagasan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di peringkat nasional.

 

“Dua gagasan ini dilihat sebagai satu aspirasi untuk Malaysia menjadi sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi tanpa mengira latar belakang.

 

“Gagasan ini juga adalah sebuah gagasan yang berteraskan pendidikan, ia merupakan asas dalam mencapai kejayaan dan sekiranya mahu ianya berjaya, kita perlu merangsang bidang pendidikan dalam memastikan kejayaannya,” ujar Zairil ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Poay Wah pagi tadi.

 

Hadir sama, Guru Besar bagi SRJK Cina Poay Wah, Lian Poh Lai; Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah, Teh Lean Hee serta Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Wee Chong Yue.

 

Bagi memastikan keselesaan para pelajar di sana, tahun ini Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30,000 bagi melaksanakan kerja-kerja menaik taraf lantai dewan sekolah berkenaan.

Manakala, tahun lalu (2019), SRJK Cina Poay Wah turut menerima sumbangan berjumlah RM25,000 bagi menaik taraf bilik darjah dan juga kantin.

 

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI