AIR PUTIH – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin mahu penduduk di bandar menggerakkan program pertanian dalam bandar yang lebih organik.
Jelasnya, usaha tersebut dilihat sesuatu yang boleh mendatangkan keuntungan dan memberi kesan kepada penurunan harga makanan tersebut.
“Kebaikan urban farming ini adalah kerana ianya kategori organik di mana tahap harganya bagi saya masih tinggi kerana kurangnya penghasilan tetapi permintaan tinggi.
“Jadi sekarang kita kena bergerak ke arah bekalan makanan organik pada harga yang mampu milik supaya rakyat biasa dapat nikmati makanan organik yang lebih sihat.
“Untuk cara itu, kita nampak urban farming ini boleh menggalakkan pertanian organik dan apabila dah banyak (diusahakan) saya nampak masa itu harganya dapat diturunkan,” ujar Afif ketika melawat Program Pertanian Bandar Komuniti Kampung Baru, Air Itam baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Peranian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Rohaizat Hamid.
Tze Tzin dalam sidang media memebritahu, kini terdapat 585 projek pertanian dalam bandar seluruh Malaysia di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melibatkan 13,700 orang.
“Di Malaysia sudah sampai masanya kita mencontohi negara-negara maju apabila mereka lebih mengutamakan produk tanaman tempatan kerana mereka tahu ianya lebih selamat dan berkualiti.
“Biar pun ianya mungkin mahal sedikit asalkan mereka tahu ianya bersih dan selamat seperti tanaman organik ini mereka akan beli.
“Kerajaan juga menyediakan dana sebanyak RM3 juta setahun bagi membantu projek-projek pertanian dalam bandar melibatkan pembelian baja, tanah, dan lain-lain bagi menggalakkan rakyat bercucuk tanam walaupun tinggal di kawasan bandar,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru.
Dalam lawatan tersebut Afif dan Tze Tzin dibawa melawat ke projek tanaman dalam bandar bertingkat yang mengusahakan tanaman seperti sawi, bayam, kangkong, pisang dan lain-lain lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS