Exco alu sumbangan bot kepada Bomba Sukarela bagi mudahkan kerja-kerja menyelamat

CHONG Eng (duduk kiri sekali) bersama Phee Boon Poh (duduk duar dari kiri) dan Saadon Mokhtar (berdiri kiri sekali) turut dibawa menyusuri Sungai Perai selepas gimik penyerahan bot tersebut baru-baru ini.

Exco alu sumbangan bot kepada Bomba Sukalera bagi mudahkan kerja-kerja menyelamat

 

BAGAN LALANG – Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam, Chong Eng mengalu-alukan sumbangan bot penyelamat dan menyifatkan pemberian yang diterima Pasukan Bomba Sukarela Padang Lalang itu tepat pada masanya bagi memudahkan kerja-kerja menyelamat dilaksanakan.

 

Bot berkenaan diserahkan secara rasmi oleh Pengurus China Press Zon Utara, Lim Kek Hong kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Mokhtar.

 

Penyerahan itu turut disaksikan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.

 

Menurut Chong Eng, kesukaran melakukan kerja menyelamat yang dihadapi ketika tragedi banjir besar pada November 2017 wajar dijadikan sebagai iktibar.

 

“Keperluan (bot penyelamat) ini sebenarnya sangat penting, sebelum berlaku kecemasan kita seharusnya sudah memiliki kelengkapan untuk menyelamat seperti ini… Kerajaan Pusat perlu memandang serius tentang kekurangan peralatan.

 

“Kita perlu sentiasa semak dan beli keperluan baharu bukan apabila terjadi sesuatu kecemasan baru kita nak cari, ianya sudah tentu menyukarkan,” ujar beliau ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bot Penyelamat Oleh China Press Kepada Pasukan Bomba Sukarela Padang Lalang dekat Pengkalan Unit Marin di sini baru-baru ini.

 

Difahamkan, China Press memperuntukkan lebih RM38,000 bagi mendermakan bot sepanjang 18 kaki, trailer bot, jaket keselamatan dan enjin berkapasiti 40 kuasa kuda yang mampu membawa kira-kira 12 penumpang pada satu masa.

 

Justeru, Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang memberitahu, beliau akan bertemu dengan pemimpin di peringkat pusat bagi membincangkan keperluan untuk menambah peralatan menyelamat.

 

Sementara itu, Saadon ketika ditemui menyifatkan sumbangan berkaitan merupakan satu rezeki buat pihak Bomba dalam melicinkan tugas-tugas menyelamat di air.

 

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS