Kerajaan Negeri mampu bantu golongan muda bergelar usahawan

DR. Afif Bahardin (tengah sekali) sempat berbual bersama pelatih Giat MARA dalam bidang automotif ketika melawat kolej tersebut semalam.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN

EXCO Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin menyeru pihak-pihak berkepentingan terlibat supaya menyegerakan pengeluaran sijil layak menduduki (CF) kepada Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Balik Pulau.

“Saya telah aturkan satu mesyuarat untuk menyelesaikan masalah ini pada kadar segera sebelum ini kerana KKTM mampu menempatkan 1,200 pelajar, tetapi buat masa kini, pihak berkaitan hanya mampu membawa masuk 400 pelajar ekoran kegagalan mendapatkan CF untuk asrama yang berada di dalam kawasan kolej.

“Diharapkan masalah ini dapat diselesaikan dengan segera supaya hak anak-anak muda terutamanya Bumiputera tidak dinafikan untuk mereka masuk dan belajar di KKTM,” katanya pada sidang media sejurus tamat Program Jelajah Desa 2018 Peringkat Daerah Barat Daya (DBD) di Balik Pulau baru-baru ini. 

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohamad Tuah Ismail; ADUN Teluk Bahang, Zolkifly Md. Lazim; Pegawai Daerah dan Tanah bagi Daerah Barat Daya (DBD), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri dan pemimpin serta komuniti setempat.

Sebelum itu, pada sesi jelajah desa berkaitan, Afif meluangkan masa melawat tujuh lokasi bermula di premis gunting rambut Sharizal Hakeb yang menerima bantuan perniagaan daripada Pejabat Daerah DBD.

Lawatan kemudian diteruskan lagi ke premis Delicious Cafe, Teluk Kumbar yang menerima bantuan peralatan daripada Jabatan Pertanian Pulau Pinang.

Seterusnya ke KKTM, lawatan tapak Bantuan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat Rakyat oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Giat MARA Balik Pulau sebelum Majlis Perasmian Penutupan Program Jelajah Desa 2018 DBD berserta kenduri rakyat yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Kongsi.

Bagi perancangan tahun 2019, Afif menyatakan bahawa sebanyak sembilan rumah akan dibaik pulih, manakala tiga lagi dibina baharu. Malah, RM41,000 telah diperuntukan pada tahun 2018 untuk disalurkan kepada 24 usahawan kecil.

“Melalui bantuan kepada usahawan kecil, kita (Kerajaan Negeri) harap taraf hidup mereka dapat ditingkatkan. Sebagai tambahan, usahawan-usahawan juga boleh menggunakan platform media sosial sebagai medium mempromosikan produk masing-masing dalam skala yang lebih luas.

“Di pihak Kerajaan Negeri, sebagaimana umum telah maklum, kita (Kerajaan Negeri) sediakan Skim Pinjaman Harapan (SPH) (dahulu dikenali Projek Titian Saksama Rakyat, PTSR) yang menawarkan pinjawan tanpa faedah untuk kali pertama,” jelasnya.

Bagi pengusaha kedai gunting rambut Sharizal, projek inisiatif khas ekonomi yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri mampu membantu golongan muda bergelar usahawan.

“Saya sudah bergiat dalam industri gunting rambut ini dah 10 tahun, dengan bantuan peralatan yang diterima diharap dapat memajukan lagi perkhidmatan saya.

“Sebagai perancangan masa depan, saya bercadang untuk membuka satu lagi cawangan bagi membantu individu yang berminat memajukan kerjaya dalam bidang gunting rambut,” ujarnya. 

Pemilik Delicious Cafe, Mat Jamil Saad menyifatkan bantuan Vacuum Sealing Machine Mixer Machine oleh Jabatan Pertanian bernilai RM9,000 adalah sangat membantu dalam mengembangkan perniagaan beliau yang tiga tahun.

“Memang sangat-sangat membantu sebab ia membantu proses penyedian kuah lebih cepat, kuah pun tidak hangit melalui sistem double boil.

“25 kilogram kacang boleh diproses atau bersamaan untuk penyediaan kira-kira 8,000 cucuk sate,” kata pemilik berasal dari Kedah yang sudah bermaustatin di Pulau Pinang selama 30 tahun berkenaan.