GEORGE TOWN – Penggiat-penggiat koperasi di Pulau Pinang digesa untuk menguasai Revolusi Industri 4.0 dalam memastikan sektor koperasi berteraskan kemajuan keusahawanan berkembang maju.
Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halil Hussain berkata, selaku Exco berwajib, beliau berjanji dengan sedaya upaya akan cuba membantu sektor koperasi di negeri ini agar lebih berdaya saing dan berkembang maju selaras dengan era digital kini.
“Apabila bercakap tentang Revolusi Industri 4.0 mungkin ramai yang hanya fokus ia terpakai kepada sektor perindustrian (kilang) yang menjadi nadi ekonomi negeri Pulau Pinang… tetapi ia sebenarnya terpakai kepada semua termasuklah sektor koperasi dan kerajaan sendiri.
“Kerajaan Negeri turut aktif memperkenalkan Revolusi Industri 4.0 ini kepada rakyat dengan memperkayakan pengetahuan terhadap artificial intelligence(AI), Internet of Things (IOT) dan pelbagai lagi.
“Hal ini kerana, business model pada hari ini cepat berubah mengikut peredaran zaman, jadi dengan menguasai Revolusi Industri 4.0 maka koperator-koperator (penggiat koperasi) kita tidak akan ketinggalan dan mampu meningkatkan kebolehan pemasaran digital bagi sektor koperasi,” ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung itu ketika berucap merasmikan Bengkel Pemasaran Digital Koperasi Negeri Pulau Pinang dekat sini, tadi.
Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Pulau Pinang, Zakaria Mat Jusoh.
Bengkel satu hari ini mendapat kerjasama Malaysian Digital Economic Corporation (MDEC) dan disertai kira-kira 50 orang koperator dari seluruh Pulau Pinang.
Difahamkan, sebanyak 717 buah koperasi merangkumi 233,591 keanggotaan ada di Pulau Pinang dengan modal / yuran sebanyak RM643.59 juta, jumlah aset sebanyak RM3.9 bilion dan jumlah perolehan sebanyak RM1.2 bilion.
Teks & Gambar: WATAWA NATAF ZULKIFLI