Exco gesa Putrajaya jelaskan punca kes harian positif COVID-19 cecah angka ribu semasa PKP 2.0

Admin

GEORGE TOWN – Kes harian positif COVID-19 melonjak ke angka yang begitu membimbangkan di seluruh negara dengan 5,725 individu dijangki wabak itu pada 29 Januari lepas, dikuti 5,728 individu (30 Januari 2021) dan 5,298 individu (31 Januari 2021).

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub supaya tampil memberi penjelasan mengenai punca sebenar peningkatan kes positif COVID-19 dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) katika ini.

“Saya harap pada hari ini, Kerajaan Pusat ambil maklum tentang nombor ini, bagaimana angka (positif COVID-19) boleh melonjak daripada angka ratusan kepada ribuan.

“Apakah Kementerian Kesihatan (Malaysia, KKM) buat pada kala ini, saya ingin tahu, Menteri jawab, terlalu lena Menteri ini, kalau tidak, Datuk Seri Ismail Sabri beritahu, apa sedang berlaku.

“Kalau tak boleh kawal, ada orang lain yang boleh buat, kerana ini adalah mengenai nyawa dan seperti mana kamu (Kerajaan Persekutuan era Perikatan Nasional) kata iaitu isu ekonomi,” jelasnya pada sidang media menerusi live Facebook di KOMTAR pada 2 Februari 2021.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak pernah mempertikaikan kewajaran pelaksanaan PKP 2.0.

Bahkan, menurutnya lagi, semasa PKP 1.0 mula dilaksanakan pada 18 Mac 2020, jumlah kes harian yang direkodkan hanya 117 kes.

“(Jumlah kes harian mencecah angka ribu) ini, sudah pun melangkaui apa yang boleh kita lihat, telah berlaku, itu yang begitu membimbangkan saya,” jelasnya lagi.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa sama ada PKP 2.0 akan dilanjutkan atau tidak bagi seluruh negeri Pulau Pinang, akan diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan era Perikanan Nasional (PN) pada Khamis ini, 4 Februari 2021.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB