Exco harap kerja-kerja naik taraf Wadda Gudwara Sahib dapat dilaksanakan tahun ini

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berharap dana bagi menaik taraf dan memulihara bangunan kuil Sikh kedua tertua di Malaysia, Wadda Gudwara Sahib dapat dikumpulkan secepat mungkin.

Untuk menjayakan usaha itu, maklum Jagdeep Kerajaan Negeri turut akan menyalurkan sumbangan sebanyak RM300,000.

“Difahamkan jumlah terkumpul kini adalah RM1.5 juta dan sekarang pihak Juru Ukur Bahan (surveyor) dalam peringkat mengenal pasti bahan-bahan asas untuk bangunan tersebut memandangkan ia dikategorikan sebagai warisan.

“Kerja-kerja pihak surveyor dijangka selesai pada September ini dan saya berharap projek naik taraf dan pemuliharaan ini dapat dimulakan dalam tahun ini juga,” ujar beliau dalam sidang media di majlis Food Mela (Food Fair) by Wadda Gudwara Sahib dekat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. Xavier, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh, Presiden Wadda Gudwara Sahib, Daljit Singh.

Projek yang dijangka mengambil masa selama tiga tahun itu difahamkan keseluruhannya bernilai RM3.5 juta.

Penganjuran Food Fair yang disertai kira-kira 54 gerai yang menjual beraneka juadah makanan diharap boleh membantu untuk menambah dana terkumpul. Turut berlangsung kempen menderma darah, pameran The National Cancer Society dan lain-lain lagi.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI