SEBERANG JAYA – Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berharap agar lebih banyak pihak tampil menganjurkan kempen derma di negeri ini.
“Kempen Derma Darah yang dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bersama-sama Persatuan Bekas-bekas Pelajar Maktab Rendah Sains MARA (ANSARA) ini wajar diteladani oleh organisasi lain.
“Sebagai Exco Kerajaan Negeri dan juga pernah berkhidmat sebagai seorang doktor, saya juga merasa amat teruja dengan insiatif program seperti ini dan berdoa agar ia akan diteruskan dari semasa ke semasa dan dicontohi oleh semua pihak.
“Oleh itu, sokongan semua pihak termasuk dari sektor swasta diperlukan bagi menjayakan program kemasyarakatan dan amal sebegini.
“Tidak keterlaluan jika saya katakan, amalan menderma darah ini adalah sesuatu yang amat mulia dan mereka yang menjadi penderma konsisten mahupun tidak adalah wira-wira yang tidak didendang di dalam masyarakat kita,” katanya semasa merasmikan program berkenaan di Mydin Mall, semalam.
Mengulas lanjut, Afif memaklumkan bahawa menderma darah adalah amalan murni serta dapat membantu mereka yang memerlukannya seperti pesakit-pesakit anemia, Talasemia dan lain-lain.
“Saya juga meyeru kepada semua lapisan masyarakat agar bekerjasama dengan menderma darah anda. Jika anda tidak mulakan siapa lagi,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.
Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ADUN