DATUK KERAMAT – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo berharap kerja-kerja mendalam dan melebarkan Sungai Pinang melalui fasa kedua Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Pinang dapat dilaksanakan menjelang Ogos tahun ini.
Beliau berkata, pelaksanaan projek RTB itu sepatutnya dapat dimulakan memandangkan proses pemindahan dan penempatan semula 223 keluarga yang terjejas selesai Mei lalu.
“Saya berharap dalam masa dua bulan lagi (Ogos), kerja-kerja pelebaran dan pendalaman sungai dapat dilakukan dengan segera bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering menghantui penduduk di kawasan seperti Jalan P. Ramlee, Jalan Sungai Pinang, Jalan Kebun Lama dan kawasan-kawasan berhampiran lain,” katanya pada sidang akhbar sejurus selepas Program Komuniti Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat di Kampung Kebun Lama Kebun Lama di sini baru-baru ini.
Sejak 2008, seramai 223 penduduk terjejas akibat projek pelebaran dan pendalaman sungai dari Kampung Rawa ke jambatan Dhoby Ghaut.
Projek bertujuan mengatasi masalah banjir kilat itu terbahagi kepada empat fasa dengan anggaran kos RM450 juta.
Jagdeep dalam pada itu berharap projek berkaitan dapat dilaksanakan dengan cepat kerana ianya dimaklumkan adalah (projek RTB) yang kedua terpenting dalam negara dengan melibatkan kos sebanyak RM450 juta untuk keseluruhan empat fasa.
Terdahulu, Jagdeep turut menghadiri program yang serupa di perkarangan Masjid Shaik Eusoff, Dhoby Ghaut di sini.