Exco harap Pulau Pinang dominasi kepimpinan wanita tertinggi dalam negara

PANTAI JEREJAK – Portfolio Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam yang digalas Chong Eng membawa iltizam tinggi ke arah memberdayakan peranan wanita di peringkat kepimpinan dan pembuat keputusan.

Sejajar dengan tanggungjawabnya, beliau berhasrat meningkatkan keupayaan dan memperkasakan pemimpin wanita di peringkat Kerajaan Negeri, sekaligus menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang mendominasi ‘angka’ kepimpinan wanita tertinggi di dalam negara.

Chong Eng berkata, penting untuk setiap pemimpin wanita di dalam pentadbiran Kerajaan Negeri untuk menjalinkan hubungan akrab antara satu sama lain.

“Ini akan membentuk satu rangkaian kepimpinan yang lebih kukuh dalam kalangan wanita di peringkat pentadbiran, maka lebih mudahlah untuk kita menggerakkan agenda wanita dan keterangkuman gender di Pulau Pinang.

“Anda perlu menjadi nakhoda untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan kaum wanita, kerana kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) mahukan lebih banyak golongan wanita terlibat di dalam proses pembuat keputusan.

“Kita mahukan kehadiran anda membawa perubahan, kepada rakyat Pulau Pinang dan juga prestasi negeri,” ujarnya pada Bengkel Lead-A-Ship di sini hari ini.

Seramai 25 pemimpin wanita dari pelbagai variasi jabatan Kerajaan Negeri menyertai bengkel yang berlangsung selama dua hari anjuran Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business, Universiti Utara Malaysia (UUM), Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dan Prof. Madya Claudia Cadena.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng.

Berkongsi pengalaman, Chong Eng memberitahu bahawa pemimpin wanita lazimnya lebih terperinci, serba boleh dan kepelbagaian (multitasking).

Jelasnya sebagai seorang pemimpin, wanita perlu kuat dan dalam masa sama tetap mempunyai ciri-ciri kelembutan.

“Tunjukkan kepimpinan melalui tauladan kerana rasa hormat perlu dicipta… anda harus pandai menyeimbangkan apa jua perkara dan prinsip paling asas adalah sebagai seorang ketua kita semestinya adil dalam semua situasi.

“Seorang pemimpin yang berkaliber perlu meletakkan kepentingan organisasi melebihi kepentingan diri, dan jika semua pemimpin bersikap begini, pastinya sesebuah organisasi menjadi lebih kuat dan berjaya,”ujarnya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar: NOOR NABILAH NOORAZIS