Exco jelas rasional Silicon Island untuk keperluan 40 tahun akan datang

Admin
img 9761 ZAIRIL Khir Johari

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri masih memerlukan pulau buatan A yang dikenali sebagai ‘Silicon Island’ sungguhpun Kerajaan Persekutuan akan membiayai penuh kos pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) – Laluan Mutiara – dari Bayan Lepas ke Komtar yang akan berakhir di Penang Sentral, Butterworth.

Mengulas lanjut, Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari berkata, Pulau Pinang masih memerlukan ‘Silicon Island’ bagi menangani isu kekurangan tanah serta memenuhi keperluan pelaburan dan industri bagi tempoh 40 tahun akan datang.

“Silicon Island diwujudkan untuk pembangunan industri, komersial, perumahan dan juga tarikan pelancong (justeru) adalah rasional untuk meneruskan (kerja-kerja penambakan laut dan mewujudkan sebuah) pulau yang kini dikenali sebagai ‘Silicon Island’.

“Untuk 40 tahun akan datang, Pulau Pinang memang memerlukan Pulau Silikon bagi menangani (isu) kekurangan tanah untuk kegunaan industri khususnya bagi menghubungkan kawasan industri sedia ada di Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP),” jelasnya dalam Sesi Soal Jawab Lisan bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 28 Mei 2024.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga lagi, ‘Silicon Island’ adalah projek penambakan laut milik penuh Kerajaan Negeri

“Melalui ‘Silicon Island’, Pulau Pinang dijangka menjana impak KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) RM1.1 trilion, menarik pelaburan berjumlah RM74.7 bilion, dan menghasilkan 220,000 peluang pekerja dalam tempoh 30 tahun,” jelasnya lagi sebagai menjawab dua soalan lisan daripada ADUN Batu Uban, A. Kumaresan.

Zairil turut menjelaskan bahawa buat masa ini Kerajaan Negeri hanya merancang mewujudkan sebuah ‘Silicon Island’ sungguhpun cadangan asal adalah mewujudkan tiga buah pulau buatan.

“Kerajaan Negeri telah mengumumkan pada 11 Mei bahawa penambakan Pulau B dan Pulau C tidak diteruskan pada masa ini,” katanya lagi.

img 9767
ZULKEFLI Bakar

Selain itu, Zairil turut menjelaskan mengenai proses pemilihan serta status beberapa firma perunding yang terlibat dalam projek ‘Silicon Island’, sebagai menjawab soalan tambahan daripada ADUN Penanti, Zulkefli Bakar.

“Perunding-perunding yang terlibat dalam (kajian reka bentuk) contohnya, mereka dilantik oleh PDP (rakan pelaksana projek) secara langsung, tetapi ada juga perunding yang dilantik dengan usahasama Kerajaan Negeri melalui Penang Island Development Sdn. Bhd iaitu sebuah syarikat usahasama yang mana Kerajaan Negeri mengetuai syarikat tersebut,” ujarnya.

Selain itu, beliau turut menjelaskan bahawa sebelum ini permohonan kerja-kerja mewujudkan pulau buatan A, B dan C adalah secara berasingan dan dimohon dalam masa yang sama.

img 9766
GOH Choon Aik

Menjawab soalan tambahan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik, Zairil memberitahu bahawa lebihan kewangan daripada projek mewujudkan ‘Silicon Island’ kelak akan dipulangkan kepada Kerajaan Negeri termasuk untuk tujuan pembangunan infrastruktur di bahagian Seberang Perai.

Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang selepas itu terpaksa menangguhkan hasrat Muhammad Fauzi Yusoff (Ketua Pembangkang merangkap ADUN Sungai Dua) mengajukan soalan tambahan berkaitan kerana peraturan dewan hanya membenarkan dua soalan tambahan bagi satu-satu soalan lisan.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB