Exco, JPJ kolaborasi lancar kempen kesedaran sempena Aidilfitri

ZAIRIL Khir Johari dalam sidang media berkaitan selepas acara Program Walkabout Kempen Keselamatan Jalan Raya di perkarangan Bazar Ramadan Pauh Indah di sini pada 17 April 2023.

SEBERANG JAYA – Sempena musim perayaan Aidilfitri, Kerajaan Negeri bersama-sama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang menganjurkan Program Walkabout Kempen Keselamatan Jalan Raya mulai hari ini sehingga 19 April 2023 dengan tema “Kepulanganmu Dinanti”.

Bercakap kepada pemberita, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa kempen kesedaran tersebut akan memberi tumpuan pada lokasi-lokasi yang ada kes kemalangan maut tinggi berdasarkan rekod Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan laporan statistik Kementerian Kerja Raya (KKR).

“Objektif kempen ini adalah bertujuan untuk meningkatkan kesedaran pengguna jalan raya berhubung keselamatan jalan raya agar perjalanan trafik pada musim perayaan ini dapat berjalan dengan lancar dan selamat serta dapat menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan maut di dalam negara.

“(Sepanjang tempoh kempen ini), masyarakat akan terus diingatkan agar tidak melakukan tujuh kesalahan utama lalu lintas iaitu memotong barisan; memotong di garisan berkembar; tidak mematuhi isyarat lampu merah; memandu melebihi had laju; menggunakan telefon bimbit semasa memandu; tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga dalam acara jerayawara sempena program kempen berkenaan di Bazar Ramadan Pauh Indah di sini, sebentar tadi.

ZAIRIL Khir Johari bersama-sama barisan pegawai JPJPP semasa Program Walkabout Kempen Keselamatan Jalan Raya di sini tadi.

Berdasarkan data statistik yang dibekalkan PDRM, Zairil memberitahu bahawa lokasi kemalangan secara terperinci tidak disuarakan.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa pada tahun 2018 menyaksikan Pulau Pinang mencatatkan 45,734 kemalangan jalan raya.

“Manakala, bagi tahun 2019 pula, sebanyak 47,198 kemalangan telah direkodkan.

“Sebanyak 35,234 kemalangan telah direkodkan bagi tahun 2020 dan 18,166 pula kemalangan telah direkodkan sehingga bulan Julai 2021,” jelasnya.

Difahamkan, statistik bagi tahun 2022 masih lagi dalam proses pengemaskinian oleh pihak PDRM.

Sehubungan itu, Zairil berkata pihaknya berharap kempen kesedaran ini sekali gus menyumbang pada usaha mengurangkan kes kemalangan maut yang melibatkan pengguna jalan raya pada musim perayaan.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR