Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
GEORGE TOWN – Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo meluahkan rasa kecewa apabila beliau menerima surat makluman daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 6 Oktober lalu berhubung pembatalan lawatan teknikal yang dijadualkan pada 9 Oktober.
Katanya, lawatan tersebut dicadangkan KPKT melalui surat kepada Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri pada 28 September 2017.
“Dalam surat tersebut, KPKT telah bersetuju mengadakan lawatan teknikal ke Jelutong bagi mengenal pasti tapak bersesuaian untuk dibangunkan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
“Dua lot tanah negeri berkeluasan kira-kira tiga hektar telah dikenal pasti, pada asalnya tanah tersebut adalah untuk pembangunan rumah mampu milik (RMM).
“Kami (Kerajaan Negeri) juga telah mengenal pasti sebidang lagi tanah bersebelahan dua lot tersebut yang dimiliki oleh Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. seluas 14.674 hektar.
“Tanah tersebut (IWK) dikenal pasti selepas membaca laporan berita yang menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan mungkin akan menggunakan tanah rawatan kumbahan itu untuk membina rumah,” ujarnya pada sidang media di Taman Mutiara Vista dekat sini
baru-baru ini.
Menurut Jagdeep, pada Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Datuk Ahmad Azizi Ali menyatakan bahawa IWK sebelum ini memerlukan lebih banyak tanah untuk loji rawatan kumbahan, namun dek kecanggihan
teknologi moden yang diguna pakai, IWK kini hanya memerlukan kawasan yang kecil.
Tambah beliau, tanah IWK yang dikenal pasti di Jelutong itu tidak beroperasi sepenuhnya, dan lawatan teknikal yang dijadualkan pada 9 Oktober lalu adalah untuk menilai sama ada dua lot tanah negeri serta tanah IWK itu sama ada sesuai untuk dibangunkan PPR.
“Saiz gabungan ketiga-tiga lot tanah tersebut adalah kira-kira 18 hektar dan boleh menyediakan lebih daripada 5,000 unit PPR untuk rakyat.
“(Dan) pada waktu ini, Pulau Pinang mempunyai bilangan unit PPR paling sedikit dalam negara dengan hanya 999 unit sahaja sehingga tahun 2015…kita tidak boleh ambil kira Wilayah Persekutuan Labuan yang mempunyai lebih 500 unit kerana ia bukan negeri.
“Unit-unit PPR ini adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, mereka membinanya (PPR) tetapi diselenggara oleh Kerajaan Negeri,” jelasnya.
Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu, unit PPR dikhaskan untuk mereka yang tidak
mampu untuk memiliki rumah kos rendah.
“Mereka hanya mampu menyewa pada kadar sewaan yang minimum, dan di Pulau Pinang kira-kira 2,000 orang masih dalam senarai menunggu untuk mendapatkan unit PPR.
“Sebab itu saya selalu kata, apabila soal penyediaan rumah kepada rakyat, jangan libatkan politik kerana ia perlakuan tidak berperikemanusiaan,” tegasnya.
Sementara itu, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim yang turut serta dalam sidang media tersebut berkata, permintaan bagi unit PPR adalah tinggi terutama bagi Daerah Timur Laut dan pembatalan lawatan teknikal oleh KPKT ini telah memusnahkan harapan untuk mendapatkan unit PPR di negeri ini.
Turut sama, Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun.