PADANG KOTA – Walaupun telah berada di Fasa 4, Pelan Pemulihan Negara (PPN), Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin mahu sektor pelancongan terus patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) pada tahap tertinggi.
Jelasnya, pemandu-pemandu pelancong harus menerapkan SOP tanpa kompromi agar sektor pelancongan tidak menjadi penyumbang kepada kadar jangkitan ke COVID-19 sekiranya ia diabaikan.
“Pulau Pinang merupakan negeri pertama yang berjaya mengaplikasikan konsep latihan ini, dan besar harapan saya agar para pelancong dapat mengikut SOP yang akan didemonstrasikan oleh pemandu pelancong terlibat.
“Melalui latihan ini juga pemandu pelancong dapat memupuk sifat keyakinan dan kepercayaan dalam diri serta antara satu sama lain.
“Saya yakin, dengan kepatuhan SOP yang berada pada tahap tinggi, kita mampu mengelakkan perebakan rantaian COVID-19 ini akibat aktiviti pelancongan,” ujar Soon Hin ketika berucap pada Kursus Latihan Kepada Pemandu-pemandu Pelancong anjuran Penang Tourist Guides Association (PTGA) di Padang Kota, baru- baru ini.
Hadir sama Pengerusi PTGA. Chin Poh Chin.
Poh Chin ketika ditemui memaklumkan, latihan tersebut sangat penting memandangkan kes di negara ini masih berada di tahap membimbangkan.
“Saya berharap kursus ini mampu beri yang terbaik untuk ditonjolkan kepada pelancong yang bakal datang kelak.
“Bagi saya, impak positif ini mampu dijelmakan kerana saya melihat rata-rata yang hadir juga bersemangat serta memahami bidang tugasan, tanggungjawab dalam memenuhi tuntutan pematuhan SOP dalam sektor pelancongan,” ujarnya lagi.
Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL