Exco mohon perhalusi dokumen garis panduan, iktiraf petugas barisan hadapan PBT sebagai penerima vaksin

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo meminta supaya Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) memperhalusi semula Garis Panduan Penetapan Senarai Barisan Petugas Hadapan Bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dikeluarkan semalam dengan mengiktiraf pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri sebagai penerima vaksin dalam senarai barisan petugas hadapan.

 

Menurutnya, dokumen garis panduan yang diumumkan semalam oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar selaku Pengerusi Pasukan Pengurusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) tidak menyenaraikan petugas hadapan daripada PBT di bawah definisi Kategori Dua.

 

“Petugas hadapan daripada PBT merupakan wira barisan hadapan kita di Pulau Pinang dan seluruh negara secara amnya sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020 yang lalu. 

 

“Mereka (petugas hadapan PBT) sentiasa berada di lapangan untuk memantau pematuhan SOP (prosedur operasi standard) di premis-premis perniagaan dan kemudahan awam seluruh negeri,” ujarnya pada sidang media yang diadakan sejurus pemeriksaan dan tinjauan pematuhan SOP di Pasar Awam Chowrasta pagi ini.

 

Turut sama, Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali dan Ahli Majlis bagi MBPP, Dato’ Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed.

 

 

Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memaklumkan bahawa di Pulau Pinang, kedua-dua PBT iaitu MBPP dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sentiasa membantu dalam memastikan perebakan jangkitan dibendung.

 

“Misalnya, mereka (petugas hadapan PBT) sering mengadakan operasi bersepadu bersama-sama pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan pematuhan SOP di lapangan setiap hari.

 

“Selain itu, PBT juga melakukan pemeriksaan dan kerja-kerja pembersihan premis milik PBT berkaitan…dan jelas secara langsung mereka terdedah terhadap risiko jangkitan.

 

“Maka, penting menyenaraikan PBT (dalam dokumen garis panduan) kerana ia melibatkan keselamatan dan kesihatan petugas hadapan PBT,” tegasnya.

 

Susulan itu, Jagdeep yang akan membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat Majlis Negara Kerajaan Tempatan (MNKT) yang akan dihadirinya pada petang ini.

 

Semalam, Khairy Jamaluddin yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan mengumumkan bahawa dokumen garis panduan tersebut bukan sahaja memperincikan mengenai petugas barisan hadapan tetapi juga bagi mengelakkan berlakunya isu pemotongan barisan untuk mendapatkan vaksin.

 

Dokumen garis panduan tersebut antara lain mendefinisikan barisan petugas hadapan sebagai anggota yang berisiko tinggi untuk mendapat dan menyebarkan jangkitan COVID-19 yang mana dikategori kepada dua kategori iaitu Kategori Satu membabitkan anggota yang terlibat secara langsung dengan penjagaan rawatan dan kesihatan meliputi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Pertahanan, hospital pembelajaran dan hospital swasta. Manakala Kategori Dua pula melibatkan anggota yang terlibat dalam sektor kesihatan, agensi pertahanan, anggota keselamatan dan perkhidmatan penting (essential).

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR