Exco optimis capai sasaran 180,000 unit rumah kos rendah, kos sederhana rendah dan mampu milik menjelang 2030
BATU LANCANG – Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo optimis Kerajaan Negeri mampu mencapai sasaran 180,000 unit rumah Kos Rendah (KR), Kos Sederhana Rendah (KSR) dan rumah mampu milik (RMM) menjelang tahun 2030.
Menurut Jagdeep, sasaran baharu penyediaan rumah mampu milik pelbagai kategori tersebut adalah selaras dengan Visi Penang2030 yang diaspirasikan Ketua Menteri.
“Dari tahun 2008 hingga kini (2019), kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) telahpun melepasi sasaran dalam manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) lalu iaitu untuk menyediakan sejumlah 76,000 rumah mampu milik, tetapi kini di seluruh Pulau Pinang telah mencecah 103,000 unit.
“Angka (103,000) ini merangkumi 30,000 sudah dibina, pelbagai peringkat pembinaan (40,000) dan bakinya telahpun diluluskan pembinaannya.
“Justeru selaras dengan visi Ketua Menteri, Kerajaan Negeri telah meletakkan satu sasaran baharu iaitu untuk mencapai 180,000 unit KR, KSR dan RMM menjelang tahun 2030,” ujarnya pada Majlis Penyerahan Projek Mengecat Enam Blok Serta Kerja-kerja Berkaitan Di Rumah Pangsa Batu Lanchang di sini 14 September lalu.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Lanchang, Ong Ah Teong, R.S.N. Rayer (Ahli Parlimen Jelutong), ‘Ainul Fadhilah Samsudi (Ketua Penolonh Setiausaha Kanan Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan Ir. Goh Kiet Rhee (Jurutera Daerah Timur Laut).
Enam blok Rumah Pangsa Batu Lanchang atau lebih dikenali sebagai Flat Bata Merah disini telah siap dicat semula dengan kos sebanyak RM385,000 yang ditanggung keseluruhannya oleh Kerajaan Negeri.
Mengulas lanjut, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat memberitahu bahawa pihak Bahagian Perumahan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri juga telah menerima permohonan untuk menukar tangki air berkapasiti 2000 liter di keenam-enam blok rumah pangsa berkenaan.
“Bahagian Perumahan tengah proses untuk menukar tangki sedia ada dari 1500 liter kepada 2000 liter dengan kos keseluruhan dijangka menelan belanja sebanyak RM300,000,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Jagdeep turut melahirkan harapan agar Kerajaan Persekutuan yang ditadbir Pakatan Harapan akan meluluskan bantuan kos penyelenggaraan melalui tabung-tabung berkaitan di peringkat Pusat yang telahpun dipohon Kerajaan Negeri sekian lama semenjak pentadbiran era Barisan Nasional dahulu.
“Dulu kita (Pulau Pinang) dianak tirikan, tapi kini kita harap (YB) Zuraida dapat luluskan.
“Apabila Parlimen bersidang tidak lama lagi, kita minta YB Rayer panjangkan permohonan dari Pulau Pinang di bawah dua tabung penyelenggaraan peringkat Pusat, suarakan hal ini di Parlimen.
“Diharap Zuraida dan Pusat dapat mempertimbangkan RM28.7 juta untuk pelbagai penyelenggaraan di projek perumahan awam negeri dan RM72.1 juta untuk skim perumahan swasta melalui kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri, kalau xboleh bagi sekaligus, secara ansuran pun boleh,” seloroh beliau.