Exco, PBAPP bentang pelan kontigensi tangani isu tekanan air rendah di SPS

Admin
(Dari kiri) GOH Choon Aik, Ir. Jaseni Maidinsa, Zairil Khir Johari, Dr. Amar Pritpal Abdullah dan Jason H’ng Mooi Lye dalam sidang media berkaitan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 2 Jun 2022.

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam tempoh kira-kira sebulan akan melaksanakan pelan jangka pendek dengan memasang pam penggalak bagi menangani isu tekanan air rendah di beberapa kawasan tanah tinggi dan taman-taman perumahan rakyat sekitar daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

ZAIRIL Khir Johari

Di bawah pelan jangka masa sederhana sama, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, agensi negeri itu turut akan menaik taraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor pada kadar 5 hingga 10 juta liter sehari (JLH) demi menghasilkan lebih banyak air terawat bagi memenuhi keperluan pengguna domestik dan komersial di daerah berkenaan.

“Pulau Pinang mempunyai bekalan air terawat yang mencukupi, tetapi (tekanan air yang rendah mengakibatkan) bekalan air ke HPA (hujung paip agihan) dan kawasan yang lebih tinggi di SPS terjadi,” jelasnya kepada pemberita pada sesi sidang media di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini pada 2 Jun 2022.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye dan Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa turut sertai sidang media tersebut.

Tidak cukup setakat itu sahaja, Zairil memberitahu bahawa PBAPP turut akan mengambil beberapa pelan jangka pendek seperti;

• Memaksimumkan pengeluaran air di sembilan LRA negeri

• Mengagihkan lebih banyak air terawat ke SPS bagi memenuhi permintaan 32,993 pengguna berdaftar

• Menghantar lori tangki air dan tangki statik ke SPS mulai Mei 2022

• Pelaksanaan Pelan Kontingensi Bekalan Air SPS 2022 (SPS-WSCP) mulai 26 Mei 2022

Jelas beliau, SPS-WSCP kini mengutamakan bekalan air kepada 32,993 pengguna air di SPS selama 12 jam iaitu dari jam 6:01 petang hingga 6:00 pagi setiap hari.

“Pada waktu semalaman ini, bekalan air ke kawasan perindustrian Batu Kawan dan Bukit Minyak dikawal,” jelasnya yang juga ADUN Tanjong Bunga.

Untuk rekod, penggunaan air meningkat hanya 7.8 peratus dalam tempoh 9 tahun; daripada 782 JLH pada tahun 2010 meningkat kepada 843 JLH pada 2019.

Namun, menurut Zairil, dalam tempoh tiga tahun penggunaan air harian di negeri ini adalah meningkat sebanyak 10.4 peratus.

“Daripada 843 JLH pada 2019, penggunaan air harian meningkat secara ketara dalam masa yang singkat, menjadi 931 JLH,” jelasnya sambil menyifatkan perkara itu sebagai faktor sampingan dalam isu tekanan air rendah ke HPA di beberapa lokaliti sekitar SPS.

Dalam perkembangan berkaitan, Mooi Lye menjelaskan bahawa pemasangan pam penggalak ‘sebelum’ tangki premis secara tidak sah oleh pengguna domestik dan komersial tertentu mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pihak lain di satu-satu lokaliti sekitar SPS.

Isu sama turut dibangkitkan oleh Choon Aik, iaitu ‘pemasangan pam penggalak’ secara tidak sah oleh pemilik kilang dan ladang tertentu di daerah berkenaan.

IR. Jaseni Maidinsa

Dalam reaksi spontan, Jaseni memberitahu bahawa setakat ini sebanyak 302 kilang sekitar daerah SPS dan Seberang Perai Tengah (SPT) dikenal pasti tidak memperbesarkan saiz ‘tangki simpanan 48 jam’ sedia ada mengikut kapasiti baharu operasi perniagaan semasa.

Walhal, katanya lagi, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Garis Panduan Teknikal Seragam SPAN (SPAN UTG) menuntut semua kilang yang beroperasi mesti dilengkapi ‘tangki simpanan 48 jam’.

“Masalah yang kita (PBAPP) hadapi adalah semasa satu-satu kilang dibina, ia memang dilengkapi tangki simpanan (air), apabila perniagaan semakin bagus yang membawa pada pembesaran kilang, tangki simpanan air itu tidak dinaik taraf (mengikut) kapasiti perniagaan yang baharu tersebut.

“Isu berbangkit ini adalah di bawah bidang kuasa SPAN (Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara)… mereka (agensi persekutuan tersebut) wajar memantau perkara ini,” katanya lagi.

Terdahulu, Mooi Lye, Choon Aik dan Dr. Amar Pritpal semasa membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri bersempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-14 pada dua hari lepas, masing-masing membangkitkan isu tekanan air yang rendah acapkali dihadapi oleh penduduk termasuk di Taman Seruling Emas; Taman Widuri; Kampung Sungai Duri; Kampung Sungai Baong; Permatang Ara dan Kawasan Perindustrian Sungai Baong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS