GEORGE TOWN – Projek Jalan Berkembar Paya Terubong yang mula dibina pada tahun 2016 kini dijangka siap pada 2028.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata demikian sebagai menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2024.
“Selain itu, projek ini juga melibatkan kerja-kerja pelebaran dan penaiktarafan jalan sedia ada (iaitu) Lebuhraya Thean Teik, pelebaran jalan sedia ada Bukit Kukus serta pembinaan persimpangan jejambat dari Lebuhraya Paya Terubong ke Jalan Tun Sardon.
“Projek ikonik ini juga mempunyai mempunyai satu laluan dengan ketinggian 61.5 meter (m) yang telah meletakkan lebuh raya ini yang tertinggi di Malaysia,” jelasnya yang juga ADUN Jawi.
Secara keseluruhannya, beliau turut menjelaskan bahawa projek tersebut melibatkan tiga segmen atau konsesi iaitu MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang), syarikat Geo Valley Sdn. Bhd., dan syarikat PLB Land Sdn. Bhd..
“Bagi projek pembinaan jalan sepanjang 5 kilometer (km) yang melibatkan kos sebanyak RM730 juta,” jelasnya sambil memberitahu bahawa kerja-kerja pembinaan dilaksanakan secara berperingkat.
Mengulas lanjut, Mooi Lye berkata segmentasi pertama adalah MBPP telah menyiapkan sebahagian projek pembinaan jalan ini yang sepanjang 2.8km pada 24 Disember 2021.
“Kedua, bagi Tetuan Geo Valley Sdn. Bhd., akan melaksanakan sebahagian projek (pembinaan lebuh raya berkembar) sepanjang 800m, yang dijangka disiapkan pada tahun 2027.
“Ketiga, Tetuan PLB Land Sdn. Bhd., akan menyiapkan bahagian terakhir (projek pembinaan lebuh raya berkembar sepanjang 1.4km pada tahun 2028.
“(Manakala,) dua bahagian lagi dari Jalan Berkembar Paya Terubong akan dibina oleh pemaju yang sedang memajukan pembangunan di sepanjang jalan berkembar ini, yang kini berada pada peringkat reka bentuk.
“Matlamat utama projek ini untuk menyuraikan aliran trafik sebanyak 30 peratus di jalan raya Paya Terubong yang sering berlaku kesesakan pada waktu puncak,” katanya sambil memberitahu bahawa projek tersebut akan melimpahkan manfaat kepada lebih 60,000 pengguna jalan raya sekitar Paya Terubong dan Air Itam.
Soon Siang dalam sesi soal jawab tambahan selepas itu membangkitkan isu kelewatan pelaksanaan projek Lebuh Raya Berkembar Paya Terubong yang sepatutnya bermula pada tahun 2016 dan berakhir pada 2025.
“Sekiranya projek (Lebuh Raya Berkembar Paya Terubong ditangguhkan sekali lagi pada tahun 2028, apakah tindakan selanjutnya terhadap dua pemaju (bukan kerajaan ini iaitu Geo Valley Sdn. Bhd. dan PLB Land Sdn. Bhd.) ini,” soal beliau.
Dalam reaksi balas, Mooi Lye berkata, ada dua sebab utama di sebalik kelewatan projek pembinaan Lebuh Raya Berkembar Paya Terubong yang kini dijangka siap pada tahun 2028 nanti.
“Kelewatan untuk dua projek ini merangkumi beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.
“Contohnya, bagi kelewatan keseluruhan projek pembinaan (lebuh raya) berkembar Paya Terubong ini iaitu Jalan Bukit Kukus…yang mana Tetuan Geo Valley menghadapi bantahan (peringkat) Lembaga Rayuan, tahun 2022 baru diselesaikan.
“Oleh sebab itu, perkara (berkaitan isu kelewatan projek siap) ini tidak dapat dielakkan.
“Kedua, masalah untuk mendapatkan EIA (Penilaian Impak Alam Sekitar), mereka (pemaju berkenaan) terpaksa membuat permohonan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dari segi aktiviti 3(B) Jadual 2 (iaitu) yang melibatkan pembinaan jalan terowong atau jambatan yang melintasi kawasan cerun dengan kecerunan melebihi atau bersamaan 35 darjah,” jelasnya lagi.
Difahamkan, projek Lebuh Raya Berkembar Paya Terubong yang dijangka siap pada tahun 2028 akan menghubungkan Jalan Bukit Kukus sedia ada, Lebuh Bukit Jambul dan Jalan Tun Sardon.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB