GEORGE TOWN – Dibina sekitar 1730-an, kewujudan Masjid Batu Uban menjadi bukti penempatan awam orang Melayu dan Islam di negeri Pulau Pinang.
Namun begitu, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata bahawa sehingga kini Masjid Batu Ubat tidak dapat diwartakan sebagai bangunan warisan kerana ia bukan struktur bangunan asal.
“Bangunan Masjid Batu Uban sekarang bukanlah bangunan asal (yang mana) sekitar tahun 1900, bangunan masjid telah dipinda dan struktur asal masjid ini hanyalah empat batang tiang seri sahaja,” jelasnya dalam Sesi Penggulungan Bagi Ucapan Perasmian TYT Sempena Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 22 November 2023.
Menurut beliau, Masjid Batu Uban juga telah dipohon untuk disenaraikan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, namun terdapat bantahan daripada pemilik tanah.
Ini kerana, menurutnya lagi, masjid tersebut berada di atas dua bidang tanah milik Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang dan juga milik persendirian.
“Atas kepentingan sejarah, Masjid Batu Uban telah disenaraikan dalam senarai tentatif untuk diangkat sebagai Warisan Negeri,” jelasnya lagi.
Dalam perkara berkaitan, Hon Wai turut menjelaskan bahawa PLANMalaysia@Pulau Pinang telah menyediakan Pelan Induk Kampung Warisan Pulau Pinang dengan menyenaraikan sejumlah lebih 600 buah kampung di seluruh negeri sebagai kampung warisan yang merangkumi kampung nelayan, kampung atas air, kampung Melayu, Kampung Baru Cina dan Kampung Siam.
“Pejabat Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang sedang membuat penelitian bagi setiap kampung untuk tujuan cadangan pendaftaran sebagai Warisan Negeri.
“Namun, kebanyakan kampung telah pun hilang karakter sebagai sebuah kampung tradisi kerana rumah-rumah tradisional sudah diubah menjadi rumah batu moden.
“Penilaian yang teliti perlu dibuat sebelum pewartaan sesebuah kampung sebagai kampung warisan,” jelasnya lagi.
Selain itu, Hon Wai turut memberitahu bahawa senarai warisan Melayu Pulau Pinang yang telah diwartakan sehingga kini.
Penjelasan Hon Wai tersebut sekali gus menjawab isu yang dibangkitkan oleh ADUN Sungai Dua merangkap Ketua Pembangkang Pulau Pinang, Muhamad Fauzi Yusoff berhubung rancangan untuk mewartakan perkampungan warisan Melayu Pulau Pinang.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN