Exco perjelas status kes ambil tanah pemaju swasta untuk kepentingan awam

Admin
img 9790

GEORGE TOWN – Pada 24 April lepas Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah membuat keputusan berhubung semakan kehakiman yang dibuat oleh syarikat pemaju swasta, Palmington Sdn. Bhd. (Palmington) terhadap Kerajaan Negeri, Pentadbir Tanah Seberang Perai Selatan (SPS) serta Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Pembangunan Digital, Zairil Khir Johari berkata keputusan mahkamah itu membolehkan cadangan pengambilan tanah sebahagian Lot 25706, Mukim 15, Daerah SPS seluas 0.470 hektar iaitu bagi tujuan pembinaan jalan pintasan dari Jalan Tasek Mutiara 10 ke Jalan Hijauan Hills, boleh diteruskan.

“Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah menolak pemohonan semakan kehakiman (iaitu) dua permohonan semakan kehakiman oleh pihak pemaju Palmington.

“Oleh kerana itu, proses pengambilan balik tanah boleh berterusan dan sememangnya sedang berlangsung,” katanya semasa sesi ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 29 Mei 2024.

Respons itu sebagai menjawab perkara yang dibangkitkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik.

Zairil yang juga ADUN Tanjung Bunga turut memberitahu bahawa Palmington kemudiannya turut membuat permohonan penangguhan tindakan berwajib di mahkamah.

“Tetapi, oleh kerana pihak Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan untuk penangguhan tindakan (pengambilan tanah tersebut), maka, kerja-kerja pengambilan tanah boleh dilaksanakan,” jelasnya.

Lanjutan daripada keputusan mahkamah tersebut juga, Zairil berkata Pentadbir Tanah SPS telah mengemukakan Borang E Akta Pengambilan Tanah (1960) iaitu notis siasatan terhadap Palmington.

“Melalui surat bertarikh 14 Mei (2024), Palmington telah dimaklumkan dan dijemput hadir ke sesi siasatan pengambilan tanah yang akan diadakan pada 5 Jun (2024) dan bertempat di Pejabat Daerah dan Tanah SPS,” jelasnya lagi.

Difahamkan, tanpa pengambilan tanah tersebut serta pelaksanaan projek pembinaan jalan pintasan di kawasan berkenaan, akan mengakibatkan penduduk setempat terutama yang mahu ke sekolah terpaksa menempuhi bulatan perjalanan yang lebih jauh.

Berdasarkan maklum balas penduduk tempatan, Palmington diminta menyerahkan sebahagian tanah tersebut kepada Kerajaan Negeri untuk Jabatan Kerja Raya membina jalan pintasan di sini, tetapi syarikat pemaju swasta berkenaan membantah dan memulakan permohonan semakan kehakiman di mahkamah.

Baru-baru ini Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak dua permohonan semakan kehakiman yang dimohon Palmington terhadap Kerajaan Negeri dan dua responden lain demi kepentingan awam.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB