Exco perjelas status tapak rumah setinggan, dewan Persatuan India Pokok Machang

Admin
s. sundarajoo S. Sundarajoo dalam sesi penggulungan Exco menjawab isu yang dibangkitkan oleh Mohd. Sobri Saleh sempena persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di sini pada 27 November 2024.

GEORGE TOWN – Isu tapak rumah setinggan dan dewan bangunan Persatuan India Pokok Machang dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Permatang Berangan sebenarnya berada di atas dua plot dalam pembangunan bercampur di atas tanah milik Tetuan Setia Fontaines Sdn. Bhd., iaitu Plot 531 dan Plot 532.

Mengulas lanjut, Exco Perumahan & Perancangan Bandar & Desa, Dato’ Seri S. Sundarajoo berkata tapak rumah setinggan dan dewan bangunan sedia ada dengan keluasan 3.1 ekar berada di Plot 531 yang mana akan diberi pemberimilikan semula secara percuma kepada Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang.

Manakala Plot 532, menurutnya lagi, merupakan tapak sekolah Tamil sedia ada seluas 3.863 ekar, akan diberi pemberimilikan semula secara percuma kepada Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Malakoff.

“Permohonan penyerahan balik tanah dan pemberimilikan semula kedua-dua plot tanah ini adalah di bawah Seksyen 204D, Kanun Tanah Negara (Akta 828).

“Kini, permohonan berada dalam proses penilaian pada peringkat Pejabat Daerah dan Tanah Daerah Seberang Perai Utara (PTDSPU) sebelum diangkat ke Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai dalam Sesi Penggulungan Exco sempena persidangan Mesyuarat Dua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 27 November 2024.

mohd. sobri saleh
MOHD. Sobri Saleh

Penjelasan Sundarajoo itu juga sekali gus menjawab isu yang dibangkitkan oleh ADUN Permatang Berangan, Mohd. Sobri Saleh.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB