Exco perjelas tujuan hakiki levi hotel Pulau Pinang dilaksanakan

Admin
img 9801

GEORGE TOWN – Sejumlah RM3.83 juta caj levi hotel Pulau Pinang berjaya dikutip sepanjang tahun 2022, sementara bagi tahun 2023 pula sebanyak RM10.6 juta.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata tujuan pelaksanaan caj levi hotel di negeri ini antara lain adalah untuk mempromosi kepelbagaian sektor berkaitan pelancongan negeri.

Beliau memberitahu perkara itu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Berapit, Heng Lee Lee dalam Sesi Soal Jawab Lisan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 30 Mei 2024.

“Kerajaan Negeri akan menyalurkan hasil (kutipan levi hotel Pulau Pinang) tersebut kepada Penang Global Tourism Sdn. Bhd. (PGT), PCEB (Penang Convention & Exhibition Bureau) dan MMK (Majlis Mesyuarat Kerajaan) Pelancongan dan Ekonomi Kreatif untuk program-program pelancongan,” katanya yang juga ADUN Paya Terubong.

Menurutnya lagi, bagi tahun 2024 pula Kerajaan Negeri hari ini memperuntukkan sebanyak RM6 juta kepada PGT, RM3.87 juta kepada PCEB, RM1.2 juta kepada MMK Pelancongan serta RM1 juta ‘tambahan’ kepada MMK Pelancongan.

“Jumlah (peruntukan tahunan) adalah melebihi RM10 juta; maksud saya, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan lebih besar (berbanding hasil kutipan) levi hotel,” jelasnya lagi sebagai menjawab soalan tambahan Lee Lee.

Walau bagaimanapun, Hon Wai berkata penjajaran kewangan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri mengakibatkan anggaran peruntukan tahun 2024 ‘dikurangkan’.

Selain itu, Hon Wai berkata hasil kutipan levi hotel itu juga akan disalurkan dalam bentuk insentif serta dana pemasaran bagi menarik lebih banyak penerbangan langsung dari luar negara dan bandar-bandar utama dunia ke Pulau Pinang.

“Shenzhen Airlines telah memulakan jualan tiket (penerbangan) dan akan memulakan penerbangan langsung dari Shenzhen, (Republik Rakyat) China ke Pulau Pinang mulai 27 Julai (2024).

“Kita sedang aturkan satu lagi penerbangan langsung dari Hong Kong, dan satu lagi dari Chennai, India pada hujung tahun ini,” jelasnya lagi.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB