PERAI – Seramai 100 pelajar terpilih dari lapan sekolah sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai menerima baucar bernilai RM150 khusus untuk membuat persiapan kembali ke sekolah, anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Mereka, murid-murid terpilih dari Sekolah Kebangsaan (SK) Khir Johari; SK Taman Inderawasih; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Perai; Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Inderawasih; SMK Perai; SJKT Ladang Perai; SK St. Mark dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa 3.
Semasa berucap, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo merakamkan penghargaan kepada pihak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) persekutuan berkenaan atas penyampaian sumbangan di bawah projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada pada penerima.
“Bukan semua agensi korporat nak pulangkan lebihan keuntungan yang mereka usahakan dengan rakyat.
“Apa yang dilakukan oleh TNB ini adalah CSR (iaitu) keuntungan yang mereka dapat, sejumlah daripada keuntungan itu dipulangkan kembali kepada rakyat dalam pelbagai bentuk bantuan,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai semasa merasmikan program Ceria Kembali Ke Sekolah Bersama-sama TNB di Dewan Serba Guna Taman Chai Leng di sini pada 23 Februari 2025.
Berucap sebelum itu, Pengurus Besar TNB Negeri Pulau Pinang, Ir. Ts. Norhizami Abu Hasan memberitahu bahawa sejak tahun 2013 lagi, program tersebut dianjurkan sempena musim pembukaan sesi persekolahan.
Sehingga tahun 2024, TNB di bawah program CSR telah membelanjakan sejumlah RM12.2 juta bagi menjayakan program Ceria Ke Sekolah di seluruh negara.
Pada tahun 2025 ini pula, menurutnya lagi, TNB memperuntukan sumbangan CSR berjumlah RM1 juta untuk diagihkan dalam bentuk bantuan pakaian seragam sekolah kepada para pelajar terpilih.
“Pihak TNB amat berbesar hati kerana dapat turut bersama-sama menyalurkan bantuan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan selepas kita mendapat keuntungan daripada perniagaan dalam sektor tenaga,” katanya lagi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN