Exco puji sumbangan lampin pakai buang dewasa kepada 59 terpilih

Admin
4144478e a216 48d6 95c6 2b101c2568ed JASON H’ng Mooi Lye (tengah) merakamkan gambar dengan beberapa wakil keluarga penerima berkenaan di sini pada pagi tadi.

JAWI – Seramai 59 keluarga terpilih sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi masing-masing menerima sumbangan lampin pakai buang dewasa yang ditaja oleh Syarikat GB Bond.

97d82363 3840 491e 897e 90f3c3d07888
JASON H’ng Mooi Lye

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye memuji pihak penaja berkenaan serta berharap lebih banyak syarikat swasta lain turut menyertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seumpama itu.

“Kita memberi 180 keping (lampin pakai buang dewasa) untuk tempoh tiga bulan.

“Ini, suatu contoh CSR baik yang dilakukan oleh sebuah syarikat swasta; mereka bukan sahaja menumpu pada soal perniagaan semata-mata, malah mereka sudi menyalurkan kembali bantuan kepada masyarakat.

“Saya mengalu-alukan pihak swasta yang lain, sekiranya berminat untuk menjalankan program CSR, bolehlah menghubung wakil rakyat di kawasan masing-masing ataupun menghubungi kami,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi seusai menyampaikan sumbangan CSR kepada penerima berkenaan dalam Program Sumbangan Pampers KADUN Jawi di sini pada 10 Ogos 2024.

Dalam satu kenyataan bertulis, Pengarah Urusan GB Bond, Datuk Gooi Chin Koay merakamkan penghargaan kepada Pusat Khidmat KADUN Jawi atas penganjuran program CSR tersebut pada kali ini.

“Selalunya syarikat kami memang memandang berat isu-isu kebajikan khususnya di kawasan (Parlimen) Nibong Tebal.

“Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, saya berpendapat bahawa kami bukan sahaja menjalankan perniagaan sahaja, tetapi juga terpanggil untuk melaksanakan program-program CSR mengikut keperluan masyarakat terutama orang kurang upaya (OKU), warga emas sakit terlantar serta anggota dari kelompok keluarga berpendapatan 40 peratus paling rendah (B40,” ujarnya lagi.

Dua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan dan Ngoh Cheng Hai turut sertai majlis tersebut.

Difahamkan, program CSR dengan memberi sumbangan lampin pakai buang dewasa seumpama itu mula dilaksanakan peringkat negeri pada tahun 2022, disusuli peringkat Parlimen Nibong Tebal pada tahun 2023 dan KADUN Jawi pada kali ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS