Exco puji usaha agensi kerajaan permudahkan skim bantuan keusahawan rakyat

Admin
RASHIDI Zinol (duduk, tengah) merakamkan gambar dengan wakil pihak penganjur dan agensi-agensi berkaitan di sini semalam.

DATUK KERAMAT – Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar, Rashidi Zinol memuji usaha agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam membantu memudahkan usahawan di negeri untuk mendapatkan pembiayaan bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh berkata antara agensi yang berkaitan termasuklah Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad (Bank Rakyat) serta Kolej Komuniti

“Pasca pandemik COVID-19 telah mengubah sedikit sebanyak tabiat masyarakat kita, yang mana ada sesetengah daripadanya sehingga kini masih gigih memperbaiki kedudukan kewangan keluarga.

“Namun, dengan peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi berkaitan seperti PDC, MARA, TEKUN, PERDA dan beberapa pihak lain lagi selama ini, pujian harus diberikan kepada mereka dalam membantu para usahawan kita terutama dari kawasan luar bandar,” jelasnya semasa merasmikan Program Taklimat Keusahawanan Peringkat Parlimen Jelutong yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Belia Generasi Jelutong di Dewan Masyarakat dekat Jalan Singgora di sini pada 19 November 2023.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Abdul Razak Abdul Rahman; dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Mohd. Nor Ahmad; Ketua Umno Bahagian Jelutong, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman turut berucap pada majlis tersebut.

Sebelum itu, Pegawai MARA Daerah Barat Daya, Muhamad Luqman Hakim Mohd. Shariff; Pengarah SME Corp. Negeri, Nurul Zahiriah Ayob; Penyelia SPH PDC, Suhaidi Abu Bakar; dan Pengurus Pembangunan Ekonomi PERDA, Mohammad Hazahari Mohd. Haris masing-masing turut memberikan taklimat ringkas para usahawan yang menyertai program di sini.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB