Exco puji usaha wujudkan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja

Admin
CHONG Eng (berdiri, dua dari kiri) menyerahkan cek replika RM30,000 kepada wakil Micron dan Kumpulan Pendidikan Whytehouse Batu Kawan di sini pada 20 Jun 2023.

BUKIT TAMBUN – Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng hari ini menyerahkan sumbangan berjumlah RM30,000 kepada Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd. (Micron) bagi membantu pengoperasian pusat asuhan kanak-kanak yang dikenali sebagai Whytehouse Batu Kawan di sini.

CHONG Eng

Semasa berucap, beliau memuji firma tersebut yang saling bekerjasama dengan TalentCorp dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC) dalam menyediakan pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang itu lagi, dengan adanya pusat asuhan kanak-kanak di tempat kerja sekali gus menjadi sistem sokongan untuk mengekalkan pekerja wanita yang mempunyai anak kecil dalam sektor pekerjaan aktif di negeri ini.

“Micron menunjukkan nilai (keprihatinan terhadap wanita untuk kekal dalam sektor pekerjaan secara aktif) ini apabila mereka melabur dan membuka pusat jagaan kanak-kanak yang dikendalikan oleh Kumpulan Pendidikan Whytehouse di Batu Kawan pada November 2022.

“Mereka (Micron) adalah syarikat multinasional pertama di Pulau Pinang yang tampil ke hadapan dan menyahut seruan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan menubuhkan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja,” jelasnya dalam majlis berkaitan di sini pada 20 Jun 2023.

Dalam perkembangan berkaitan, Chong Eng berkata inisiatif Micron dalam mewujudkan pusat jagaan kanak-kanak Whytehouse Batu Kawan tersebut adalah selari dengan Visi Penang2030 bertemakan ‘Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara’ serta meningkatkan kesaksamaan gender di tempat kerja.

Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng, S. Esugasini (wakil Micron) dan Jery Yeoh serta Tan (pengasas bersama Kumpulan Pendidikan Whytehouse) turut sertai sidang media tersebut.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI