Exco rai pengamal media dalam majlis berbuka puasa

GEORGE TOWN – Kira-kira 50 pengamal media dirai dalam Majlis Iftar Bersama Rakan Media yang berlangsung dekat Macalister Ballroom, Hotel E&O, di sini semalam.

Program tersebut dianjurkan oleh Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng.

Chong Eng sedang menyantuni pengamal media.

Dalam ucapannya Chong Eng berkata bahawa program itu dianjurkan bukan sahaja untuk meraikan bulan Ramadan tetapi juga bersempena dengan sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia yang jatuh pada 3 Mei setiap tahun.

“Hari Kebebasan Akhbar Sedunia diisytiharkan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan kebebasan media.

Menunjukkan buku inisiatif yang dijalankan di bawah portfolio MMK Pembangunan Sosial dan KADUN Padang Lalang.

“Selain itu, sambutan ini juga adalah bagi mengingatkan kerajaan pemerintah semasa mengenai tugas pengamal media dan tanggungjawab untuk menegakkan hak dan kebebasan bersuara.

“Akhbar yang bebas menyumbang ke arah hak kebebasan bersuara, mengukuhkan akauntabiliti, responsif kerajaan terhadap rakyat serta menyediakan pelbagai platform kepada pihak-pihak berkepentingan,” katanya.

Pengamal media dihidangkan dengan pelbagai juadah yang menyelerakan.

 

 

Hadir sama pada majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Ong Bee Leng serta ahli-ahli jawatankuasa PDWC.

Di kesempatan itu juga, Chong turut membentangkan senarai inisiatif dan program yang dijalankan di bawah portfolio Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Sosial dan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Lalang.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS