SEBERANG JAYA – Seramai 60 pesakit kanser terpilih dari Hospital Seberang Jaya dan Hospital Bukit Mertajam diraikan oleh Exco Kesihatan, Pertanian & Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr. Afif Bahardin sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Dr. Afif ketika ditemui berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian dan sokongan kepada pesakit kanser di negeri ini.
Hal ini kerana, katanya, pesakit kanser memerlukan seseorang untuk memberikan semangat semula, dan interaksi melalui program-program yang diaturkan mampu menjadi wadah penghubung.
“Kanser adalah penyakit kronik, berkomplikasi dan bukanlah sakit biasa yang boleh dirawat seorang diri.
“Mereka (pesakit kanser) memerlukan sokongan daripada semua, sama ada pihak hospital, doktor, jururawat, masyarakat, keluarga dan rakan-rakan di tempat kerja.
“Malah, bagi pihak Kerajaan Negeri sendiri, kita juga ada terlibat melalui Program Pink October iaitu salah satu platform kesedaran terhadap golongan wanita yang menghidapi kanser payu dara,” ujarnya pada Majlis Penyampaian
Sumbangan Aidilfitri Kepada Pesakitpesakit Kanser di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. A. Elizabeth dan Pengerusi Badan Sokongan Pesakit Kanser Seberang Perai, Dr. Imran Khalid.
Pada majlis berkaitan, Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya turut menyumbang sebanyak RM5,000 bagi meringankan beban pesakit-pesakit tersebut bersempena sambutan berkaitan.
Tambahnya, seramai 11,000 wanita di Pulau Pinang menikmati perkhidmatan pemeriksaan mammogram percuma yang disediakan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2013.
“Daripada jumlah tersebut, ada antara mereka yang berjaya mengesan kanser payudara pada peringkat awal,’’ jelas Dr. Afif.