GEORGE TOWN – Tetuan Zantalite Enterprise (M) Sdn. Bhd. pada 9 Mei lepas telah menarik balik Permohonan Kebenaran Merancang (PKM) asrama pekerja dekat Teluk Kumbar, Bayan Lepas yang dimohon daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata penarikan PKM itu selepas syarikat berkenaan mengemukakan permohonan berwajib pada 16 November tahun lepas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi berkenaan memberitahu perkara itu semasa membuat ucapan penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 29 Mei 2024.
“Boleh tepuk meja (tanda setuju),” seloroh Mooi Lye kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz selaku pengerusi mesyuarat Dewan tadi.
Dalam perkembangan berkaitan, Mooi Lye turut menjelaskan bahawa MBPP telah meluluskan satu PKM bagi cadangan mendirikan satu blok bangunan asrama pekerja 27 tingkat yang mempunyai 512 unit di atas Lot 1859, 1860 & 1865, Tingkat Teluk Kumbar, Mukim 9, Daerah Barat Daya yang dikemukakan oleh Tetuan Chong Company Sdn. Bhd..
“Walau bagaimanapun, kelulusan Kebenaran Merancang (Borang C1) masih belum dikeluarkan oleh MBPP kepada Tetuan Chong Company Sdn. Bhd kerana syarikat ini belum memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MBPP,” jelasnya lagi.
Berhubung isu asrama pekerja Asing di Teluk Kumbar, beliau turut memaklumkan bahawa pemohon mesti mematuhi syarat-syarat teknikal yang telah ditetapkan dalam PKM.
“Semua permohonan yang dikemukakan perlu melaksanakan Kajian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Impak Lalu Lintas (TIA), manakala, bagi permohonan baharu asrama pekerja yang melebihi kapasiti seramai 10,000 orang pekerja asing perlu diangkat kelulusan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN),” katanya.
Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB