Exco sambut baik syor laksana Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi

6b0b1a2e cd06 4551 b920 6a7b445a370f LIM Siew Khim

GEORGE TOWN – Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim menyambut baik syor menggunakan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi dalam menoktahkan isu kemiskinan di negeri Pulau Pinang.

Siew Khim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan yang diutarakan oleh ADUN Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 25 November 2024.

“Pada masa depan, perlunya kita menggunakan MDPI (Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi) ini, tetapi ketika ini seluruh negara belum ada lagi (indeks sebegitu).

“Di Permatang Pauh sedang mula mengguna pakai (Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi) ini, kalau tidak silap saya,” responsnya.

69b3e8e0 abe7 4efa 8846 19fc6ade86f3
REEZAL Merican Naina Merican

Dalam sesi celahan sebelum itu, Reezal Merican berkata penggunaan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi akan memberi gambaran lebih luas mengenai usaha menoktah kemiskinan yang sedang diusahakan oleh pelbagai pihak di Pulau Pinang ketika ini.

“Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak kerana soal menoktahkan kemisinan tegar ini adalah keazaman bersama yang wajar dipuji, tetapi realitinya usaha menoktahkan kemiskinan tegar ini tidak terhenti.

“(Justeru,) adakah Kerajaan Negeri berhasrat menggunakan satu lagi sistem ukuran yang digunakan oleh Bank Dunia (iaitu) Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi dengan mengambil kira akses nutrisi, kualiti pendidikan, kualiti kehidupan dan kesihatan.

“Ini kerana, ada dalam kalangan mereka ada duit lepas dari paras kemiskinan, tetapi hakikatnya dari aspek-aspek yang lain (adalah sebaliknya),” jelasnya lagi.

Sebelum pada itu, Siew Khim memberitahu bahawa setakat 4 November 2024, mereka yang berada dalam kelompok miskin tegar di negeri Pulau Pinang adalah seramai 1,641 keluarga.

“Tetapi, data terkini pada 19 November (2024) cuma ada (kira-kira) 800 keluarga miskin tegar sahaja,” jelasnya sambil menjelaskan bahawa data semasa adalah berubah-ubah dan tidak tetap, sebagai menjawab soalan lisan ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang.

Penjelasan Siew Khim itu menggamit pertikaian pembangkang, sebelum Reezal Merican mencelah dan mengesyorkan penggunakan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi sebagai kaedah merekod data miskin tegar peringkat negeri agar lebih holistik.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD