Exco sangkal dakwaan MBSP robohkan rumah ibadat di Mukim 4 SPS

Admin
whatsapp image 2024 08 09 at 2.42.53 pm (1)

GEORGE TOWN – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) tidak merobohkan rumah ibadat di Lot 180, Mukim 4, Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) seperti yang ditularkan dalam klip video di media sosial baru-baru ini.

 

 

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata, pihak berkuasa tempatan berkenaan tidak menyentuh walaupun seinci rumah ibadat di kawasan tersebut.

 

 

Sebaliknya, pihak MBSP menjalankan operasi perobohan binaan tanpa kebenaran membabitkan sebuah dewan dan satu binaan kabin kontena pada 6 Ogos 2024.

 

 

“Operasi ini diadakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mana MBSP telah memberikan tempoh 14 hari kepada pemilik (binaan tanpa kebenaran) supaya merobohkan sendiri.

 

 

“Malah, pemilik juga telah menandatangani surat akujanji untuk meruntuhkan sendiri struktur tersebut,” ujar Mooi Lye pada sidang media di Komtar pada 9 Ogos 2024.

 

 

Hadir sama, Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Setiausaha Bandaraya MBSP , Mohd. Ibrahim Md. Nor dan Pengarah Jabatan Pematuhan Teknikal dan Dasar MBSP, TPr. Mohd. Ridzal Abdul.

 

 

Menurut Mooi Lye. MBSP menerima aduan berhubung binaan tanpa kebenaran di lokasi tersebut pada Disember 2023.

 

 

 

“Hasil siasatan dan pemeriksaan MBSP, mendapati bahawa terdapat tiga struktur binaan tanpa kebenaran di atas penama Persatuan Penganut Dewa Hon Jun Lao Zu (Tian Zheng Si), termasuk satu binaan tokong digunakan untuk tujuan ibadat, satu binaan dewan untuk tujuan keraian dan satu binaan kabin kontena.

 

 

Saya percaya bahawa binaan berkaitan tidak mematuhi Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP2030) dan Draf Rancangan Tempatan MBSP 2030.

 

 

“(Hal ini kerana) ketiga-tiga binaan tersebut adalah tanpa kebenaran MBSP dan terletak di kawasan bukit yang melebihi aras 76 meter iaitu antara 145 hingga 150 meter,” katanya.

 

 

Mengulas lanjut, Mooi Lye yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi memaklumkan bahawa pada 8 Januari 2024, MBSP telah mengeluarkan notis yang mengkehendaki pemunya meruntuhkan bangunan dalam masa 30 hari dari tarikh notis.

 

 

“Pada 22 Februari 2024, notis mengosongkan bangunan selama 30 hari telah dikeluarkan oleh MBSP dan pada masa sama merujuk kes ini kepada Jawatankuasa Penyelarasan Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Negeri pada 22 Mac 2024 untuk mendapatkan pertimbangan tindakan penguatkuasaan.

 

 

Jawatankuasa tersebut telah bermesyuarat pada 19 Julai 2024 dan bersetuju tindakan penguatkuasaan ke atas struktur dewan dan kabin kontena.

 

 

“Manakala, struktur rumah ibadat tersebut, sesi perbincangan diadakan bersama-sama ADUN Bukit Tambun untuk mencari penyelesaian.

 

 

“(Dan) pada 3 Ogos 2024, notis proviso dikeluarkan dan disampaikan kepada pemunya yang mana MBSP telah menerima rayuan daripada Arkitek Melati yang dilantik pemunya tanah pada 5 Ogos 2024 supaya menangguhkan tindakan penguatkuasaan.

 

 

“Mereka juga memaklumkan akan mengemukakan permohonan perlingkungan semula kepada Plan Malaysia walau bagaimanapun, MBSP tidak dapat mempertimbangkan rayuan tersebut memandangkan tiada bukti-bukti yang menyokong permohonan mereka,” jelasnya.

 

 

Dalam pada itu, Mooi Lye menasihati semua pihak supaya membuat permohonan terlebih dahulu sekiranya berhasrat membangunkan apa-apa struktur binaan di mana-mana lokasi sekali pun.

 

 

“Hal ini kerana, sekiranya berlaku apa-apa insiden (yang tidak diingini) melibatkan struktur binaan haram, orang awam akan meletakkan kesalahan tersebut kepada pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri,” katanya.

 

 

Sebagai makluman, Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 (RSNPP2030) menggariskan bahawa sebarang pembangunan perbandaran yang meliputi pembangunan skim perumahan, perhotelan, resort, perdagangan, perindustrian dan sebarang struktur bangunan tidak dibenarkan di :

 

  • kawasan tanah tinggi yang diwartakan di bawah Akta Pemeliharaan Tanah 1960 (Akta 385); atau

 

  • sebarang tanah yang berada pada aras 76 meter ke atas; atau

 

  • kawasan berkecerunan 25 darjah ke atas; kecuali bagi pemajuan infrastruktur dan utiliti dibenarkan dengan syarat-syarat dari jabatan teknikal berkaitan dan mendapat kelulusan dari pihak berkuasa negeri.

 

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : NURATIKAH RAHMAT