Exco saran lebih banyak pejabat kerajaan sediakan bilik laktasi

Admin

GEORGE TOWN – Dalam memastikan wanita bekerjaya terus kekal produktif dalam pasaran pekerjaan, setiap bangunan pejabat kerajaan dan agensi kerajaan di Pulau Pinang disarankan untuk menyediakan sebuah bilik laktasi.

 

Exco Pembangunan Sosial, Chong Eng berkata, penyediaan bilik laktasi atau bilik penyusuan bukan sahaja memberi galakan kepada golongan wanita bergelar ibu untuk terus bekerja, tetapi juga memberi keupayaan untuk meneruskan penyusuan susu badan kepada bayi sehingga berusia dua tahun.

 

“Ketua Jabatan atau Pengarah perlu memainkan peranan dengan mengenal pasti keperluan dan memastikan bilik atau ruang yang sesuai disediakan kepada pekerja wanita bergelar ibu sebagai kemudahan penyusuan.

 

“Misalnya Bilik Laktasi di Tingkat 47 dan Tingkat 26 di Komtar antara kemudahan yang disediakan kepada penjawat awam di sini mengikut waktu pejabat bagi membolehkan para ibu yang masih menyusukan anak membekalkan susu ibu secukupnya setiap hari.

 

“Usaha ini akan diteruskan bagi memastikan lebih banyak bangunan pejabat kerajaan di negeri ini mempunyai kemudahan bilik laktasi yang selesa selaras dengan polisi mesra penyusuan yang dihasratkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara,” ujarnya.

CHONG Eng.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Jom Hebah anjuran Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pembangunan Sosial yang diadakan di ruang legar Tingkat 3, Komtar dekat sini pada 14 Julai 2023.

 

Selain memastikan pelaksanaan polisi mesra penyusuan di pejabat-pejabat kerajaan, Kerajaan Negeri juga, kata Chong Eng, akan meneruskan inisiatif menangani dan membantu mangsa-mangsa keganasan domestik melalui Dasar Keluarga Selamat di pejabat-pejabat kerajaan.

 

“Dasar Keluarga Selamat ini akan diperluaskan di pejabat-pejabat kerajaan juga sebagai langkah mewujudkan khidmat sokongan yang mana setiap pejabat perlu melantik seorang pegawai yang bertanggungjawab sebagai ‘First Support Point’.

 

“Sekiranya mangsa adalah penjawat awam, mereka boleh mencari sokongan yang mana majikan boleh memainkan peranan melalui intervensi begitu juga sekiranya mereka adalah pelaku, tindakan boleh diambil sekali gus menangani keganasan domestik,” jelasnya.

 

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching yang turut hadir pada program berkenaan, memuji inisiatif Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mewujudkan masyarakat yang menyokong dan memperkasakan wanita.

 

“Malah saya juga kagum dengan komitmen dan kesungguhan Kerajaan Negeri yang menyarankan supaya pejabat-pejabat kerajaan mempunyai bilik laktasi sebagai kemudahan kepada golongan ibu bekerjaya untuk meneruskan penyusuan,” katanya yang menceritakan pengalaman penyusuan sebagai seorang ibu bekerjaya melalui segmen perkongsian.

TEO Nie Ching.

Terdahulu, Chong Eng membentangkan semua inisiatif, dasar dan program yang dilaksanakan beliau sepanjang menjawat jawatan sebagai Exco Pembangunan Sosial.

 

Jelas mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang itu lagi, antaranya memperkenalkan Dasar Keterangkuman Gender dalam memastikan peluang yang sama diberikan kepada semua wanita dan lelaki pada peringkat pembuat keputusan; mewujudkan 50 First Support Point di pusat-pusat khidmat wakil rakyat dan kaunter jabatan dan memperkenalkan Pelan Hala Tuju Penuaan Aktif sebagai persediaan ke arah Bandar Mesra Usia menjelang tahun 2025.

 

“Selain itu, program-program seperti Penang Goes Orange, Wanita Jana Rezeki dan Program Mentor Usahawan Wanita Pulau Pinang (PWEMP) juga antara inisiatif pemerkasaan wanita yang dilaksanakan secara usahasama dengan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

 

“Penubuhan Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga (JPWK) di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini turut menjadi penanda aras dalam memastikan perspektif dan keperluan wanita didengar.

 

“Malah, dalam memacu aspirasi kesaksamaan gender, Sidang Wanita dan Wanita Bangkit! juga diadakan membabitkan kolaborasi strategik pelbagai pihak.

 

“Tidak hanya itu, Kerajaan Negeri melalui MMK Pembangunan Sosial juga cakna dengan pembangunan kanak-kanak seawal bayi sehinggalah ke alam persekolahan yang mana buku panduan diterbitkan untuk memberi maklumat dan melatih pihak berkepentingan mengikut topik-topik tertentu,” jelasnya lanjut.

PERSEMBAHAN tarian oleh Persatuan Rakyat Berida Pulau Pinang.

Mantan ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Pengerusi World Alliance for Breastfeeding Action (WABA), Datuk Dr. Anwar Fazal dan Ketua Pegawai Eksekutif PWDC, Ong Bee Leng antara yang hadir memeriahkan program berkaitan di sini.

Program turut diserikan dengan pameran dan reruai daripada jabatan kerajaan, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dan persembahan pentas.

PAMERAN oleh agensi dan jabatan kerajaan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN