Exco sasar 4,000 usahawan terima latihan pemasaran digital tahun hadapan

Admin

GEORGE TOWN – Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Keusahawanan mensasarkan seramai 4,000 usahawan lagi bakal menerima latihan pemasaran digital tahun hadapan.

Katanya, sehingga kini sebanyak 1,090 usahawan dari semua peringkat telah berjaya dilatih.

“Sebagai Exco Keusahawanan, saya bersama-sama Kerajaan Negeri akan berusaha meningkatkan lagi kemampaun usahawan di negeri terutamanya bagi mencapai Visi Penang2030 iaitu meningkatkan pendapatan isi rumah dalam kalangan usahawan.

“Bagi meningkatkan pendapatan isi rumah ini, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program latihan pemasaran digital selari dengan era Revolusi Perindustrian 4.0 kini.

“Ada di antara usahawan-usahawan yang dilatih ini tidak mempunyai produk, jadi kita berikan mereka produk, pada yang dah ada produk kita ajar mereka bagaimana cara untuk mengembangkan potensi produk mereka.

“Alhamdulillah ada di antara mereka meskipun suri rumah, tapi mampu menjana di antara RM3,000 hingga RM10,000 hasil latihan pemasaran digital ini,” ujarnya ketika merasmikan Karnival Hijab Pulau Pinang 2019 di Komtar sebentar tadi.

Sempena penganjuran karnival berkenaan, terdapat hampir 10 reruai yang mengambil bahagian menjual pelbagai produk hijab, kosmetik dan pakaian. Memeriahkan lagi karnival, pertandingan mencari model hijabista 2019.

 

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN