Exco sebulat suara pilih Rozali Mohamud sebagai calon Datuk Bandar MBSP  

Admin

SEBERANG JAYA – Mesyuarat Exco yang bersidang pada 12 Jun lalu sebulat suara bersetuju memilih Yang diPertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kini, Dato’ Sr. Rozali Mohamud sebagai calon Datuk Bandar pertama bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selepas ia dinaiktaraf secara rasmi nanti.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo berkata walau bagaimanapun, mesyuarat Exco yang akan berlangsung pada 19 Jun ini akan mengesahkan kembali perkara tersebut.

 

“Selepas itu kita (Kerajaan Negeri) akan dapatkan perkenan Yang Di Pertuan Agong (YDPA) sebelum proses mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri T.Y.T Tun Dr. Abdul Rahman Abbas berlangsung.

 “Walau bagaimanapun, masih belum ada tarikh muktamad untuk mengadap dan mendapatkan perkenan Agong,” ujarnya.

Jagdeep sebelum itu hadir merasmikan Kursus Latihan Ahli Majlis, Proses Penyediaan Belanjawan di sebuah hotel dekat Perai, baru-baru ini.

Katanya, sebagai Ahli Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), aspek kehendak Kerajaan Negeri perlulah diketahui.

“Seperti sekarang, Pulau Pinang sedang bergerak ke arah visi Penang2030, jadi bajet yang disediakan perlulah bersesuaian degan Penang2030 iaitu menjadi negeri hijau dan pintar serta menginspirasikan negara. 

“Sejak mengambil alih pada tahun 2008, kita berjaya melakukan banyak transformasi dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat,” jelasnya lagi.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NUR AFIQAH ZAINUDI