GEORGE TOWN – Semua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) disarankan memberi tumpuan pada penambahbaikan cara kerja serta tindakan peringkat organisasi masing-masing supaya menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) contoh negara.
Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye menyampaikan amanat itu semasa merasmikan Kursus Induksi Ahli Majlis PBT Negeri Pulau Pinang di Auditorium A, Komtar pada 11 Mac 2024.
“Ahli Majlis (PBT) merupakan penggubal sasar, memainkan peranan yang cukup signifikan dalam membentuk kecekapan dan ketelusan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“(Justeru,) saya menyeru dan meminta agar Ahli-Ahli Majlis perlu berani dalam memberikan idea dan cadangan yang praktikal bagi meningkatkan lagi tahap kompetensi PBT,” jelasnya sambil mengingatkan sekalian ahli majlis mengamalkan budaya intergriti dalam perkhidmatan.
Di samping itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi berkata pihaknya berharap semua Ahli Majlis berkenaan berusaha mewujudkan Pusat Pengumpulan Elektrik & Elektronik serta Pusat Kitar Semula di kawasan masing-masing bagi menyempurnakan petunjuk prestasi utama (KPI) pertama bagi tahun 2024.
Dalam sidang media selepas itu, beliau memberitahu bahawa Ahli-Ahli Majlis PBT turut diwajibkan untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu publisiti berkaitan pelaksanaan dasar pengasingan sisa di punca sebelum langkah penguatkuasaan berwajib bermula 1 Julai depan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD